Dana pembiayaan pembangunan mampan RM1.5 bilion disediakan untuk realisasikan 17 SDG

Dana pembiayaan pembangunan mampan RM1.5 bilion disediakan untuk realisasikan 17 SDG

KUALA LUMPUR,. Dana pembiayaan pembangunan mampan bernilai RM1.5 bilion akan disediakan untuk menyokong usaha merealisasikan 17 matlamat pembangunan mampan (SDG).

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan menumpukan kepada pembiayaan bagi projek-projek strategik melalui Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) dan dana itu adalah antara dana pembiayaan yang akan disediakan dengan tawaran subsidi faedah 1.5 peratus setahun.

“Kedua adalah Dana Pembiayaan Infrastruktur Pelancongan berjumlah RM1 bilion bagi memperkukuh momentum pemulihan sektor pelancongan termasuk pembiayaan untuk pemulihan hotel, pembaharuan bandar serta pemuliharaan warisan,” katanya ketika membentangkan Bajet 2023 bertemakan ‘Keluarga Malaysia: Makmur Bersama’ di Dewan Rakyat, pada Jumaat.

Beliau berkata ketiga adalah Dana Pembiayaan Maritim dan Logistik sebanyak RM1 bilion yang diperluas kepada industri sokongan bagi sektor minyak dan gas serta sektor pembinaan dan pembaikan kapal.

Di samping itu, kerajaan turut meneruskan Skim Pemulihan dan Sokongan Melalui Ekuiti (RESET) dan Skim Modal Kerja di bawah BPMB dengan dana keseluruhan berjumlah RM1 bilion bagi memberi sokongan berbentuk suntikan ekuiti dan modal kerja pusingan kepada syarikat berpotensi tinggi yang masih terjejas ekoran krisis COVID-19, katanya.

Mengenai sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Tengku Zafrul berkata kerajaan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) akan menyediakan jaminan perniagaan sehingga RM9 bilion bagi PKS khususnya untuk sektor strategik iaitu agromakanan, teknologi mampan, pelancongan serta vendor minyak dan gas.

Beliau berkata inisiatif jaminan ini akan membantu syarikat PKS mendapatkan pembiayaan baharu yang sebelum ini sukar diperolehi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This