DAP P.Pinang tiada kena mengena dengan komik – Chow

GEORGE TOWN,. Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menolak dakwaan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa DAP cuba menyebarkan propaganda parti itu menerusi buku komik yang dihasilkan oleh Muzium Kebudayaan Komik Asia yang berpusat di sini.

Chow berkata kerajaan negeri hanya mengambil tanggungjawab membayar ruang sewaan muzium itu yang terletak di Komtar di sini sejak beberapa tahun lepas, tetapi tidak terbabit dalam pengurusan atau operasinya.

“Kami tidak tahu apa-apa tentang buku komik ini sebab kami tidak campur tangan dalam pengurusan dan pengendalian muzium ini. Apa yang ada hubungan cuma satu peruntukan tahunan bagi membiayai sewaan ruang muzium sahaja,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau mengulas catatan dalam facebook Najib hari ini yang mendakwa DAP cuba menyebar propaganda parti itu menggunakan komik yang dihasilkan oleh muzium berkenaan dan mengedarkan bahan bacaan itu secara percuma kepada sekolah menengah kebangsaan serta jenis kebangsaan.

“Kami pun tidak tahu wujudnya komik ini sebab ia (dihasilkan oleh) satu entiti yang bebas … tak ada berkaitan dengan kerajaan negeri. (Anda) boleh tanya kepada Jabatan Pendidikan kenapa ia diedar (di sekolah-sekolah), itu saya tidak ada jawapan,” kata Chow.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )