DAP tunggu Ronnie Liu jawab surat tunjuk sebab

KUALA LUMPUR,. DAP telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu, Ronnie Liu berikutan cadangan beliau agar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meninggalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Jawatankuasa Displin DAP Chong Chieng Jen yang mengesahkan perkara itu berkata pihaknya kini menunggu jawapan daripada Liu.

“Sekarang surat tunjuk sebab telah dikeluarkan dan kita tunggu dia jawab dan selepas itu kita akan buat keputusan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Liu yang menyatakan gabungan PH akan kekal kukuh sebagai kerajaan walaupun tanpa Bersatu pada 22 Okt lepas.

Menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak bertanggungjawab, Chong berkata pihaknya akan meneruskan proses sepatutnya berhubung isu itu.

Ditanya adakah DAP menetapkan jangka masa untuk Liu membalas surat tunjuk sebab itu, Chong dalam jawapan ringkasnya berkata:”Ada, tapi saya tak nak bincang mengenainya”.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )