David de Gea; bangganya selepas mengatasi rekod penampilan Peter Schmeichel

David de Gea; bangganya selepas mengatasi rekod penampilan Peter Schmeichel

LONDON,. David de Gea meluahkan rasa bangganya selepas mengatasi rekod penampilan Peter Schmeichel bagi pemain dari luar negara di Manchester United.

Penjaga gol antarabangsa Sepanyol itu yang menyertai United pada 2011 mengekalkan rekod tanpa bolos pada penampilan ke-399 ketika membantu kelab berkenaan menewaskan Aston Villa 3-0, awal pagi tadi.

“Maaf Schmeichel,” katanya kepada mufc.com.

“Ia sesuatu yang hebat. Ini bermaksud saya sudah lama berada di sini dan bermain dengan sangat baik, saya sangat bangga.

“Saya gembira dapat bermain bersama kelab ini. Diharapkan saya boleh bermain dalam 400 lagi perlawanan.”

Skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer yang mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 17 perlawanan dalam semua kejohanan ketika ini hanya ketinggalan satu mata daripada kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris.

Kemenangan United ke atas Villa hadir menerusi jaringan Bruno Fernandes, Mason Greenwood dan Paul Pogba.

United yang berada di kedudukan kelima dipisahkan satu mata dengan penghuni tangga keempat, Leicester City yang akan menjadi lawan mereka untuk aksi terakhir musim ini.

Anak buah Solskjaer juga hanya ketinggalan dua mata di belakang Chelsea dalam pemburuan slot automatik ke Liga Juara-Juara.

Dengan berbaki empat perlawanan lagi, De Gea mahu rakan sepasukannya kekal fokus bagi memastikan mereka mengutip mata maksimum.

“Sudah pasti keyakinan kami meningkat sekarang tetapi tugas masih belum selesai. Kami ada perlawanan penting selepas ini dan kami perlu fokus,” katanya. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This