DBKL panggil agensi berkaitan jumpa peniaga di Central Market bincang mengenai PENJANA

DBKL panggil agensi berkaitan jumpa peniaga di Central Market bincang mengenai PENJANA

KUALA LUMPUR, 27 Sept — Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memanggil agensi berkaitan untuk bertemu dan memberi penerangan kepada semua peniaga di Central Market mengenai Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata langkah itu dibuat supaya peniaga dapat melihat dan mendengar sendiri perkara yang kerajaan boleh bantu bagi mengurangkan beban mereka yang terkesan akibat COVID-19.

“Ada antara mereka yang mungkin kurang faham malah tidak sedar dengan kewujudan PENJANA.

“Ini adalah cara kita untuk membantu mereka, sekurang-kurangnya kita bagi ruang untuk mereka tahu seterusnya memohon bantuan daripada kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi Town Hall bersama peniaga berkenaan, di sini, hari ini.

Sesi Town Hall itu bertujuan mendapat maklum balas daripada peniaga yang terkesan akibat COVID-19 dan jenis bantuan yang boleh diperuntukkan kepada mereka.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelan pemulihan ekonomi jangka pendek iaitu PENJANA yang merangkumi 40 inisiatif bernilai RM35 bilion bagi tempoh Jun hingga Disember ini.

Daripada RM35 bilion saiz keseluruhan PENJANA, sejumlah RM13.2 bilion atau 37.71 peratus diperuntukkan untuk memperkasakan rakyat; RM14.8 bilion (42.28 peratus) bagi melonjakkan perniagaan dan RM7.1 bilion (20.28 peratus) untuk merangsang ekonomi.

Dalam pada itu, Nor Hisham berkata DBKL memberi pelepasan bayaran lesen perniagaan sehingga setahun kepada semua peniaga di Central Market.

“Rata-rata peniaga di sini mengalami kesulitan dalam menjana pendapatan kerana Central Market adalah kawasan tumpuan pelancong asing,” katanya.

Terdapat sejumlah 327 peniaga di luar dan dalam Central Market yang dilesenkan di bawah lesen premis DBKL dan memulakan perniagaan sejak 1 Sept lepas.

Bagaimanapun, pengurusan semua peniaga ini di sini di bawah Central Market Sdn Bhd yang bertanggungjawab menguruskan pengisian, penempatan, reka bentuk dan bayaran sewa.

“Kami juga akan terus mengadakan perbincangan bersama pihak pengurusan seperti dalam soal penyewaan premis, promosi dan kebersihan serta bantuan lain yang dapat ditawarkan bagi membantu golongan ini,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This