Derita Lumpuh, Izam EYE Minta Sumbangan

Derita Lumpuh, Izam EYE Minta Sumbangan

KUALA LUMPUR,. Biarpun vokalis kumpulan EYE, Izam, 52, menderita penyakit lumpuh separuh badan sejak hampir setahun lalu, semangatnya masih kuat untuk berjuang.

Tiada keupayaan pada diri tidak sesekali membuatkannya putus asa dalam mencari sesuap rezeki bagi menanggung dua isteri dan tujuh cahaya mata.

Biarpun tidak mampu ligat seperti biasa kerana pergerakannya terbatas, jalan senget dan tak sempurna. Namun, penyanyi lagu Izinkan Selamanya Namamu Di Hati masih mempunyai kudrat memenuhi undangan nyanyian, biarpun menyanyi atas kerusi roda.

Bagaimanapun, kini, Izam atau nama sebenarnya, Mohd Izam Mohd Arshad menempuh situasi sukar apabila hilang punca pendapatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa.

Terbaharu, tersebar posternya meminta sumbangan orang ramai dalam membantu meringankan bebanannya.

“Sebelum ini, saya mampu bertahan apabila menyanyi menggunakan kerusi roda. Jadi, saya masih ada sumber pendapatan untuk menanggung keluarga.

“Bagaimanapun, sekarang saya berdepan dengan situasi getir hilang punca pendapatan berikutan tempoh PKP. Lagipun, mahu menyambut Ramadan.

“Saya mempunyai dua isteri dan tujuh cahaya mata. Saya risau nasib diri dan keluarga, lebih lagi dalam keadaan diri menderita penyakit lumpuh separuh badan,” katanya kepada BH Online.

Izam berkata, ini kali kedua dirinya terpaksa menebal muka meminta sumbangan orang ramai.

“Saya kali pertama meminta sumbangan ketika mula diserang penyakit lumpuh, kira-kira 11 bulan lalu. Bagaimanapun, tidak berpanjangan kerana saya masih gigih mencari rezeki menyanyi.

“Secara kebetulan, saya menerima undangan persembahan kecil termasuk membantu badan bukan kerajaan (NGO) membantu fakir miskin di Sabah.

“Kini, saya tiada pilihan dan terpaksa minta sumbangan. Saya amat terdesak. Kalau fikir malu, ia tidak membawa kesudahan. Orang nak kata apa, terpulang,” katanya.

Mengimbas kejadian diserang penyakit lumpuh, Izam berkata, ia terjadi berlaku selepas mengadakan persembahan di Kuantan, Pahang.

“Saya bersama dua rakan dalam perjalanan pulang. Saya dan seorang rakan bergilir memandu kereta.

“Saya tiba di rumah jam 3 pagi. Mulanya, saya ingat kaki lenguh kerana memandu. Saya tak fikir perkara buruk yang akan berlaku.

“Saya sedar kaki sukar mahu diangkat jam 9 pagi. Dalam masa sama, kawan saya mula mengesyaki ia berkaitan penyakit lumpuh,” katanya.

Anak jati Kuala Lumpur itu berkata, dia kemudian terjatuh dalam ruang tamu dan dikejarkan ke hospital oleh keluarganya.

“Hasil pemeriksaan, saya disahkan mengalami lumpuh peringkat pertama.

“Cuma saya pelik, lumpuh peringkat pertama selalunya akan sembuh dalam tempoh enam bulan. Saya pula sebaliknya. Mungkin sebab saya ada penyakit darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi,” katanya.

SumbeR: Berita Harian

CATEGORIES
TAGS
Share This