Dewan Perdagangan ASEAN meterai MoU tarik pelabur wilayah China

Dewan Perdagangan ASEAN meterai MoU tarik pelabur wilayah China

KUALA LUMPUR,. Dewan Perdagangan ASEAN (ACC) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Dewan Perdagangan Pengimport dan Pengeksport Foshan dalam usaha menarik pelabur China, khususnya wilayah tersebut untuk melabur di Malaysia.

Presiden ACC Datuk Moehamad Izat Emir berkata menerusi MoU tersebut, pelabur China dapat meninjau peluang perniagaan lebih besar di Malaysia bagi pasaran eksport masing-masing serta untuk penggunaan masyarakat tempatan (China).

“Kami mahu mengambil peluang daripada langkah (China) menarik keluar pelaburan berikutan perang perdagangan dengan Amerika Syarikat yang secara amnya memberi manfaat kepada lebih 600 juta penduduk ASEAN.

“Ini akan turut membantu meningkatkan produk-produk kami seperti tekstil, minyak mentah, minyak sawit, gula, kopi dan beras menerusi usaha penyelidikan dan pembangunan atau inovasi daripada pelabur asing yang berpotensi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas majlis pemeteraian MoU berkenaan bersempena Ekspo Perdagangan Malaysia-China (MCTE) di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

Pada acara selama tiga hari sejak 7 Nov lepas, ACC turut menandatangani MoU dengan MCTE serta Dewan Perniagaan dan Perindustrian Singapura bagi meningkatkan kerjasama selain membentuk pakatan pemasaran strategik.

— BERNAMA

Laporan Eksklusif Oleh: Zairina Zainudin

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )