
Digi perkenal altHR bantu syarikat di Malaysia mendigitalkan proses HR
KUALA LUMPUR,. Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) telah memperkenalkan altHR yang bertujuan membantu syarikat-syarikat di Malaysia dalam mendigitalkan proses sumber manusia (HR) dan mendorong pemerkasaan serta penglibatan pekerja yang lebih baik.
altHR adalah penyelesaian digital dalam pengurusan tenaga kerja. Dibangun dengan ciri-ciri yang selaras dengan norma baharu seperti kit jualan digital, catatan masa tanpa sentuh serta pengurusan cuti dan perbelanjaan tanpa kertas, aplikasi ini bertujuan mengatasi masalah pendigitalan dalam proses-proses syarikat yang lazimnya berlaku pada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Pelancaran altHR juga sejajar dengan matlamat Digi untuk membantu lebih banyak syarikat Malaysia mengorak langkah ke arah pendigitalan dan lebih bersedia menghadapi cabaran pandemik COVID-19 yang sukar dijangka.
Menerusi alat pengurusan tenaga kerja altHR, pekerja dapat memohon cuti dengan mudah, membuat dan meluluskan tuntutan, memohon kebenaran perjalanan, mengakses dokumen penting seperti slip gaji dan buku panduan, mendapatkan informasi dan pengumuman terkini syarikat dan sebagainya.
Bukan itu sahaja, dengan penumpuan terhadap pengalaman digital yang lebih baik buat pekerja, syarikat juga boleh memanfaatkan altHR untuk melatih pekerja baharu secara digital, menguruskan pertanyaan dalaman berkaitan HR dan menyediakan platform yang menghubungkan pekerja dengan perkhidmatan keperluan seperti pembayaran bil utiliti dan pembelian baucar. Semua perkara tersebut dapat dilakukan dengan mudah melalui aplikasi telefon dan tanpa sebarang pelaburan dalam teknologi maklumat (IT).
Menariknya dengan adanya pendigitalan proses HR pada papan pemuka (dashboard), majikan dapat memantau aliran kerja dengan cekap serta menganalisis data dengan cepat dan mudah. Di samping itu, penggantian kertas kerja yang rumit kepada altHR membolehkan syarikat menyalurkan sumber terhadap perkara yang memfokuskan pada penjanaan keuntungan dan pertumbuhan bagi perniagaan mereka.
Ketua Pegawai Digital Digi, Praveen Rajan berkata, pendigitalan merupakan komponen penting dalam menjalankan perniagaan, terutamanya pada waktu seperti sekarang ketika banyak perusahaan kecil dan sederhana terpaksa meningkatkan penggunaan digital untuk proses pemulihan dan pertumbuhan.
“Kami di Digi sangat bertuah kerana telah menggunakan altHR selama hampir tiga tahun dan melalui beberapa penambahbaikan yang telah dilakukan, kami rasa ini adalah yang tepat untuk berkongsi pengalaman ini bersama perusahaan kecil dan sederhana Malaysia (PKS) dalam usaha membantu perniagaan mereka pulih dan berkembang secepat mungkin,”
“altHR sebenarnya merupakan hasil konseptual yang lahir dari keperluan yang terdapat dalam Digi sendiri,” katanya.
Ketika perniagaan mula membina semula operasi dan menjana kembali pendapatan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), altHR memberikan peluang keemasan kepada majikan untuk mengkaji semula proses HR yang lama dan terhad apabila pekerja harus bekerja dari jarak jauh.
altHR juga memperkenalkan ciri-ciri ‘normal baharu’ seperti perkhidmatan, kit jualan dan catatan masa untuk membantu PKS menyesuaikan diri dengan cara pengurusan tenaga kerja yang selamat sambil memberikan faedah dan kemudahan sebagai penghargaan buat semua pekerja.
Bagi membolehkan lebih banyak PKS memperoleh keuntungan daripada pendigitalan perniagaan mereka, Digi akan menawarkan altHR secara percuma kepada semua syarikat untuk 50 pekerja pertama mereka, sehingga 31 Disember 2020.
Direka untuk menggalakkan PKS menerapkan pendigitalan dalam operasi harian mereka, Geran Pendigitalan Perniagaan PKS diumumkan dalam Belanjawan 2020, yang menyaksikan kerajaan membiayai 50 peratus geran yang setara dengan jumlah hingga RM5,000 pada setiap syarikat untuk langganan alat dan penyelesaian digital.
Memandangkan Digi merupakan Penyedia Penyelesaian Teknologi (TSP) di bawah program pemberian geran tersebut, syarikat yang melanggan altHR layak untuk memohon geran yang ditawarkan.
PKS Malaysia boleh menggunakan altHR dengan mendaftar di https://althr.my
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai altHR, layari https://althr.my.