Dilema penduduk setinggan Thailand, antara kesihatan atau sesuap nasi

Dilema penduduk setinggan Thailand, antara kesihatan atau sesuap nasi

BANGKOK, 10 April — Terik mentari menyelubungi Khlong Toey – kawasan setinggan tertua, terbesar dan paling padat di Bangkok – rutin kehidupan seperti biasa meskipun kerajaan Thailand menasihatkan menjaga jarak sosial dan tinggal di dalam rumah untuk mengekang rantaian jangkitan COVID-19.

Didiami kira-kira 100,000 orang – termasuk 30,000 kanak-kanak – kedudukan rumah yang terlalu rapat sudah tentu mustahil untuk penjarakan sosial dipatuhi. Di lorong-lorong sempit yang kotor, yang tua berkipas kepanasan, kaum wanita berbual sambil duduk di bangku di luar rumah, kanak-kanak riang bermain sambil berkaki ayam.

Ia menyebabkan penduduk di kawasan berkenaan lebih terdedah kepada virus yang membawa maut itu – umpama bom jangka yang boleh meledak bila-bila masa. Sehingga kini, sekurang-kurangnya 13 orang telah dijangkiti.

Saiyong Kongsap, 54, seorang buruh berkata beliau tiada pilihan selain terus bekerja meskipun berisiko dijangkiti COVID-19, atau duduk di rumah sambil kelaparan.

“Saya tahu virus itu boleh membawa maut. Apakan daya takkan duduk sahaja di rumah dan biarkan keluarga kelaparan. Saya perlu berusaha mencari kerja walaupun sekarang bukan mudah untuk mendapatkan pekerjaan,” kata bapa kepada empat orang anak itu kepada Bernama baru-baru ini.

Saiyong dan ramai lagi penduduk di setinggan itu, hidup perlu diteruskan, walaupun Thailand telah menyaksikan lebih 2,400 orang dijangkiti dan 32 nyawa menjadi korban.

Pengasas Yayasan Duang Prateep, Prateep Ungsongtham Hata, berkata penduduk lebih bimbang tidak cukup duit untuk membeli makanan berbanding dijangkiti COVID-19.

Beliau berkata kebanyakan yang tinggal di Khlong Toey bekerja gaji hari di pelbagai sektor termasuk hotel, pengangkutan awam dan peniaga di jalanan.

“Hidup mereka umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Apabila kerajaan mengumumkan penutupan pusat beli-belah, pusat hiburan, salun dan pusat urut, kira-kira 60 peratus penduduk di sini hilang mata pencarian,” katanya.

Apa yang menjadi kebimbangan Prateep ialah penularan COVID-19 di Khlong Toey, terutama dalam kalangan warga tua kerana sukar untuk jarak sosial diamalkan di sini.

Menurut Prateep yayasan itu – ditubuhkan lebih 40 tahun lalu untuk membantu kanak-kanak dan keluarga yang miskin – bekerjasama dengan sekurang-kurangnya lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan sukarelawan untuk menyediakan barangan keperluan termasuk penutup mulut dan hidung, cecair pembasmi kuman, sabun dan makanan dalam tin untuk golongan memerlukan.

“Kami berharap lebih ramai sertai kami, terutamanya untuk membantu warga emas  yang berisiko tinggi dan orang kurang upaya,” katanya.

Ekonomi Thailand amat bergantung kepada pelancongan dan eksportnya terjejas akibat pandemik COVID-19.

Sehubungan itu, dalam usaha kerajaan untuk mengurangkan kesan COVID-19, Thailand mengumumkan pakej rangsangan ekonomi, termasuk bantuan bernilai 5,000 baht kepada mereka yang bekerja sendiri dan yang diberhentikan, selama enam bulan, memberi manfaat kepada kira-kira sembilan juta orang.

“Hasil jualan semakin menurun sejak wabak menular,” keluh penjual pulut kukus, Walamit Saejiew, 60, sambil berharap bantuan kerajaan itu dapat diterima secepat mungkin kerana ia serba sedikit  meringankan beban kewangannya.

— BERNAMA

 

CATEGORIES
Share This