Dixon tidak ambil bahagian dalam GP Portugal Susulan pembedahan di pergelangan tangan

Dixon tidak ambil bahagian dalam GP Portugal Susulan pembedahan di pergelangan tangan

KUALA LUMPUR,. Pelumba Petronas Sprinta Racing Moto2 Jake Dixon tidak akan mengambil bahagian dalam Grand Prix Portugal di Litar Portimao pada hujung minggu ini selepas menjalani pembedahan pergelangan tangan di England, Jumaat lepas.

Menurut pasukannya dalam laman sesawang www.sepangracingteam.com, pelumba kelahiran Britain berusia 24 tahun itu telah menjalani pembedahan selama dua jam yang dilakukan Dr Mike Hayton di Hospital Spire Manchester.

Dixon mengalami kecederaan di pergelangan tangan semasa sesi latihan bebas kedua GP Valencia di Litar Ricardo di Valencia, Sepanyol minggu lepas.

“Pemeriksaan perubatan mengesahkan bahawa ia adalah kecederaan teruk di pergelangan tangan dengan beberapa tulang patah dan kecederaan pada tulang rawan.

“Semasa pembedahan itu, ligamen yang cedera telah dirawat manakala tulang yang patah diikat dengan wayar. Pemeriksaan selepas pembedahan menunjukkan bahawa pembedahan berjaya,” katanya.

Pasukan Malaysia itu mendedahkan bahawa proses pemulihan Dixon akan bermula dengan latihan kardio ringan dalam tempoh seminggu dan pelumba tersebut dijangka membuang wayar di pergelangan tangan kirinya pada pertengahan bulan depan sebelum meneruskan proses tersebut.

Sementara itu, Dixon mengucapkan terima kasih kepada Dr Mike dan pasukan perubatannya selepas menjalani pembedahan selain keluarga, pasukan serta penyokong yang banyak memberikan sokongan kepada beliau dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.

“Ia adalah cara terburuk untuk mengakhiri tahun kedua yang sepatutnya hebat dalam perlumbaan Moto2 namun saya yakin ini akan menjadikan kami lebih kuat tahun depan.

“Sayangnya saya tidak dapat mengambil bahagian dalam pusingan akhir pada musim ini kerana saya benar-benar berharap dapat berlumba semula. Kami akan mengikuti pelan pemulihan yang disarankan doktor untuk kembali sihat secepat mungkin,” katanya.

Dixon kini berada di tempat ke-18 dalam kedudukan Kejohanan Dunia Moto2 dengan 44 mata selepas 14 perlumbaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This