Dr Mahathir terima kunjungan hormat pemimpin Hamas Ismail Haniyeh

Dr Mahathir terima kunjungan hormat pemimpin Hamas Ismail Haniyeh

PUTRAJAYA,. Perdana Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menerima kunjungan hormat daripada pemimpin Hamas Ismail Haniyeh dan delegasinya di pejabatnya di Perdana Putra, di sini.

Dr Mahathir dalam catatan di Twitter rasminya, memaklumkan kedua-dua mereka membincangkan perkembangan terkini dan nasib yang menimpa rakyat Palestin dalam pertemuan kira-kira 45 minit itu.

Menurut catatan itu, pemimpin Hamas itu turut merakamkan ucapan terima kasih atas usaha Dr Mahathir yang membawa idea segar berkenaan dunia Islam menerusi penganjuran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur pada Disember lepas

“Ismail bagaimanapun meminta maaf kepada perdana menteri kerana tidak dapat menghadiri sidang kemuncak itu,” menurutnya.

Dalam pertemuan itu, Ismail turut menyatakan penghargaan atas usaha dan sokongan berterusan Dr Mahathir buat rakyat Palestin.

Ismail dilaporkan tiba di Malaysia semalam dalam siri lawatannya ke beberapa negara Islam antaranya Iran, Oman, Turki and Qatar.

Sementara itu, kenyataan dikeluarkan oleh Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia kemudiannya hari ini, berkata dalam pertemuan itu, Dr Mahathir dan Ismail membincangkan keadaan semasa di Palestin, terutamanya pencerobohan terkini Israel di Baitulmuqaddis dan keganasan berterusan Israel di Gaza.

Ismail menegaskan akan pentingnya usaha untuk mengekang rancangan Israel itu dan mengalu-alukan sokongan Malaysia terhadap penduduk Palestin, dan pada masa yang sama menghargai keberanian pemimpin Malaysia atas sokongan yang diberikan berhubung hak warganegara Palestin.

Delegasi Hamas termasuk tiga ahli kanan biro politiknya, Ezzat Al-Rishq, Nizar Awadallah dan Maher Salah.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This