Dr Mahathir tiba di Vladivostok untuk Forum Ekonomi Timur

Dr Mahathir tiba di Vladivostok untuk Forum Ekonomi Timur

VLADIVOSTOK,. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di sini hari ini untuk menyertai Forum Ekonomi Timur (EEF) kali kelima.

Ini merupakan lawatan kerja pertamanya di Rusia sejak memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia ketujuh. Lawatan rasmi terakhir beliau di Rusia adalah pada 2002.

Pesawat membawa Dr Mahathir dan delegasinya mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Vladivostok pada 6.30 petang waktu tempatan dengan ketibaan beliau disambut Timbalan Gabenor Vladivostok, Melnikov Oleg.

Perdana Menteri sebelum ini berada di Kemboja bagi lawatan rasmi tiga hari.

Lawatan Dr Mahathir di Rusia adalah atas jemputan Presiden Rusia, Vladimir Putin, sempena EEF yang berlangsung di kampus Far Eastern Federal University di sini.

EEF merupakan inisiatif Putin pada 2015 bertujuan menyokong pembangunan ekonomi Timur Jauh Rusia dan memperluaskan kerjasama antarabangsa di rantau Asia-Pasifik.

Penganjur menjadualkan beberapa pertemuan rasmi bagi Perdana Menteri esok termasuk mesyuarat dua hala dengan Putin dan rakan sejawatan dari India, Narendra Modi.

Dr Mahathir juga akan diwawancara oleh media tempatan sebelum majlis makan tengah hari dihoskan oleh Putin yang akan disertai beberapa pemimpin lain.

Kemudian, Perdana Menteri dan delegasi akan menyertai Sesi Pleno EEF, acara utama forum tersebut.

Beberapa pemimpin negara lain termasuk Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe serta Presiden Mongolia, Khaltmaagin Battulga juga akan menyertai beliau.

Dr Mahathir diiringi Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking.

EEF diwujudkan menerusi dekri yang dikeluarkan Putin pada 2015 untuk menyokong pembangunan ekonomi Timur Jauh Rusia dan memperluaskan kerjasama antarabangsa di rantau ini.

EEF, dianjurkan oleh Roscongress Foundation, kini menjadi platform untuk membincangkan isu dan cabaran ekonomi global, penyepaduan serantau serta industri baharu selain teknologi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Roccongress Foundation, Alexander Stuglev, beberapa dialog perniagaan akan diadakan dengan negara rakan kerjasama terkemuka di rantau itu, khususnya ASEAN, perkumpulan penting negara membangun Asia Tenggara.

Beliau berkata lebih 6,500 peserta dari Rusia dan seluruh dunia menyertai forum itu untuk terlibat dalam mesyuarat perniagaan, pameran, program budaya dan sukan yang pelbagai.

Pameran tersebut akan mengetengahkan pembentangan oleh badan kerajaan persekutuan Rusia mengenai peluang pelaburan dan insentif termasuk projek pelaburan utama di Daerah Persekutuan Timur Jauh di sini, melibatkan kerjasama antarabangsa.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This