Dr Rayong fail petisyen batal keputusan PRU15

Dr Rayong fail petisyen batal keputusan PRU15

KUCHING,. Dr Johnnical Rayong Nyipa, calon yang kalah di kerusi Parlimen Lubok Antu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu memohon pengisytiharan mahkamah membatalkan keputusan pilihan raya bagi kawasan itu dengan memfailkan petisyen pilihan raya di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Menurut peguamnya Clement Wong, Timbalan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) itu mengemukakan tiga alasan untuk petisyen itu, antaranya kegagalan Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) melakukan pengiraan semula undi apabila diminta selepas Dr Rayong kalah dengan majoriti tipis 100 undi menentang pemenang kerusi berkenaan, Roy Angau Gingkoi, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Dua lagi alasan dikemukakan ialah membabitkan unsur rasuah dan sogokan, tambah Wong bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut.

Dr Rayong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili menamakan Roy, RO dan Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) sebagai defendan dalam petisyen itu.

Roy juga Pengerusi Parti Rakyat Sarawak (PRS) Cawangan Engkilili.

“Salah satu alasan (petisyen) ialah melanggar peraturan pilihan raya dan kegagalan pengiraan semula adalah salah satu fakta,” kata Wong sambil menambah, ketiga-tiga alasan itu diperuntukkan oleh Seksyen 32 (a), (b) dan (c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada sidang media sebelum ini, Dr Rayong berkata kewujudan salah satu peti undi menjadi tanda tanya apabila ia tiba di pusat penjumlahan undi di Dewan Sukan Lubok Antu dari pusat mengundi di SK Nanga Ijok sekitar jam 9.30 malam selepas pengiraan ditutup jam 5 petang pada hari pengundian iaitu 19 November 2022.

“Kotak terakhir tiba sekitar jam 9.30 malam. Pengiraan ditutup jam 5 petang. Jika saya memandu, hanya 45 minit pemanduan dari SK Nanga Ijok ke dewan sukan,” kata Dr Rayong.

Dr Rayong menegaskan, pusat mengundi itu terletak berdekatan Sri Aman, justeru ‘tiada bot diperlukan’ dari pusat mengundi ke pusat penjumlahan.

“Dengan izin Tuhan kita akan menang,” katanya.

Pada 23 November 2022 Dr Rayong telah meminta SPR mengira semula undi dan menyemak semula undi rosak, undi tidak dikembalikan dan peratusan keluar mengundi.

Beliau telah melahirkan kekecewaannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lalu dan disebabkan SPR tidak menunaikan permintaannya itu petisyen pilihan raya terpaksa difailkan semalam.

Pada PRU15, Dr Rayong memperoleh 6,544 undi, manakala Roy memperoleh 6,644 undi dalam pertarungan empat penjuru merebut kawasan Parlimen Lubok Antu.

Penyandang Jugah Muyang yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) mendapat 5,360 undi manakala Langga Lias daripada Pakatan Harapan (PH) hanya mendapat 746 undi menyaksikan beliau hilang deposit.

Secara keseluruhan terdapat 19,537 undi, dengan 200 undi rosak dan 43 kertas undi tidak dikembalikan.

Manakala peratusan keluar mengundi bagi Lubok Antu ketika itu adalah 67.4 peratus.

Secara keseluruhannya, Parlimen Lubok Antu mempunyai 28,995 pengundi berdaftar.

CATEGORIES
TAGS
Share This