Dr Zaliha harap isu pakaian jururawat hospital awam tidak terus diperbesar

Dr Zaliha harap isu pakaian jururawat hospital awam tidak terus diperbesar

JOHOR BAHRU,. Kementerian Kesihatan (KKM) berharap isu pakaian jururawat hospital awam tidak terus diperbesar.

Menteri berkenaan Dr Zaliha Mustafa berkata dakwaan bahawa pakaian seragam jururawat adalah ketat tidak benar sebaliknya ia mematuhi etika berpakaian penjawat awam yang ditetapkan.

Beliau berkata sehubungan itu, pihaknya tidak mahu isu berkenaan terus dibangkitkan kerana fokus utama KKM ialah meningkatkan tahap perkhidmatan kesihatan di negara ini.

“Kalau tengok pakaian jururawat sekarang memang ada etika, jadi bagi saya tiada masalah. Sebaliknya yang paling penting sekarang adalah kerajaan telah meluluskan pembentangan Kertas Putih Kesihatan.

“Itu lebih utama kerana ia membincangkan tentang penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat, adalah penting untuk faham bahawa kesihatan rakyat menjadi tumpuan kerajaan ketika ini,” katanya.

Dr Zaliha berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Makmal Patologi Hospital Sultanah Aminah (HSA), Klinik Kesihatan Taman Ungku Tun Aminah dan Klinik Kesihatan Palong Timur di HSA di sini hari ini.

Ahli Parlimen Sekijang itu ditanya mengenai kenyataan Ahli Parlimen Kuantan Wan Razali Wan Nor daripada Perikatan Nasional yang mempersoal etika pemakaian jururawat wanita yang didakwa ketat dan tidak patuh syariah baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Zaliha berkata KKM menerusi strategi komunikasi akan memaklumkan pencapaian dan aspirasi kesihatan awam kepada rakyat.

“Saya tahu rakyat ramai kurang maklum tentang perkara ini (Kertas Putih Kesihatan) tetapi paling penting, ia dah lulus dan kita akan sampaikan kepada rakyat agar mereka faham dan tahu kepentingan kesihatan,” katanya.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This