Dua bekas pengurus GLC hadapi tuduhan rasuah bernilai RM1.4 juta

Dua bekas pengurus GLC hadapi tuduhan rasuah bernilai RM1.4 juta

SHAH ALAM, 29 Julai — Dua bekas pengurus Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 11 pertuduhan rasuah bernilai kira-kira RM1.4 juta untuk kontrak pembekalan dan pemasangan bagi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) antara 2012 hingga 2016.

Abu Haswandy Abu Bakar, 49, dan Badrul Hisham Besri, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, Abu Haswandy dan Badrul Hisham didakwa dengan niat bersama meminta suapan bernilai RM1 juta daripada seorang Ketua Pegawai Esekutif (CEO) supaya mencadangkan sebuah syarikat bagi memperoleh kontrak pemasangan dan penghantaran Intelligent Bandwidth Management Services (IBMS) untuk LHDN.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah pusat perniagaan di Bukit Jelutong, di sini antara 30 Nov 2012 hingga 19 Dis 2012.

Dalam prosiding yang sama juga Abu Haswandy yang merupakan bekas Pengurus Akaun turut menghadapi enam pertuduhan berasingan menerima suapan dan upah keseluruhan berjumlah RM234,347.38 daripada individu sama dan tujuan sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Taman Equine, Seri Kembangan antara 15 Sept 2015 hingga 23 Sept 2016.

Badrul Hisham yang juga bekas Pengurus Besar itu turut menghadapi empat lagi pertuduhan dengan nilai suapan RM229,347.98 daripada individu yang sama bagi tujuan sama.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di Seksyen 16, Shah Alam antara 16 Nov 2015 sehingga 19 Julai 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama dimana jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Azmi Yusuf memohon mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM50,000 berserta penjamin dan menyerahkan pasport antarabangsa serta perlu melaporkan diri setiap awal bulan di ibu pejabat SPRM.

Abu Haswandy yang diwakili Peguam Reuben Netto dan Badrul Hisham diwakili Afifuddin Ahmad Hafifi memohon pengurangan ikat jamin RM15,000.

Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan RM35,000 setiap seorang dengan dua penjamin, tertuduh juga perlu menyerahkan pasport antarabangsa mereka kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat setiap awal bulan.

Hakim Rozilah kemudian menetapkan tarikh 28 Ogos depan sebagai tarikh pengurusan kes.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This