Dua laporan polis terhadap Adun Ketari langgar SOP PKPB – Ketua JSJ Selangor
KUALA LUMPUR,. Dua laporan polis diterima berhubung muat naik gambar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari Young Syefura Othman yang dikatakan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan berkelah beramai-ramai, baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata siasatan mengenai laporan yang diterima di daerah Sepang itu masih dijalankan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Terbaru pada petang semalam, satu laporan diterima daripada seorang pengadu yang melihat akaun Twitter dan Instagram dengan nama Young Syefura memuat naik gambar wakil rakyat itu dan rakan-rakannya sedang berkelah di tepi pantai beramai-ramai.
“Pengadu dikatakan melihat sembilan keping gambar yang baru sahaja dimuat naik di lokasi yang pengadu percaya berhampiran dengan Avani Sepang Goldcoast Resort di Pantai Bagan Lalang, Selangor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut pengadu, Selangor pada ketika ini dikuatkuasakan PKPB dengan aktiviti berkenaan pada ketika ini tidak dibenarkan.
ADUN yang mewakili kawasan Ketari, Pahang itu semalam menerusi akaun Twitternya memohon maaf jika beliau melanggar sebarang SOP berkaitan PKPB dan menyatakan beliau bermastautin di Selangor serta rela disiasat pihak berkuasa.
Media sebelum ini melaporkan gambar terbabit tular selepas dimuat naik wakil rakyat itu sendiri namun dipadamkan apabila mendapat perhatian netizen yang mempersoalkan tindakan itu.
— BERNAMA