Dua lelaki lolos ditahan semula

Dua lelaki lolos ditahan semula

KUALA BERANG,. Dua lelaki yang meloloskan diri ketika dalam perjalanan balik dari Mahkamah Marang ke balai polis, kira-kira 10.45 pagi semalam berjaya ditahan semula.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud berkata kedua-dua lelaki terbabit ditemukan di sekitar kawasan kebun kelapa sawit Kampung Temala, Marang, iaitu masing-masing pada 12 tengah hari dan 1.12 tengah hari semalam.

Beliau berkata kedua-dua lelaki terbabit merupakan suspek bagi kes curi dan mereka bertindak keluar dari van yang dinaiki selepas bergelut dengan pihak polis.

“Lebih kurang pukul 8.30 pagi, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu telah membawa seramai empat individu ke mahkamah Majistret Marang untuk pendakwaan dan sambung reman.

“Namun, semasa dalam perjalanan balik ke Balai Polis Ajil, lebih kurang 10.45 pagi melalui Jalan Pengkalan Berangan-Ajil, dua suspek yang dikawal di kerusi belakang bertindak menyerang anggota pengiring hingga berlaku pergelutan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Adli berkata susulan itu seorang daripada suspek tersebut telah membuka pintu bahagian belakang van dan mereka melompat keluar sebelum melarikan diri ke arah ladang sawit di tepi jalan.

Tambahnya, kedua-dua anggota pengiring yang mengalami cedera ringan telah cuba mengejar tertuduh namun gagal.

“Setelah laporan dibuat, operasi mengesan kedua-dua lelaki berkenaan telah dilakukan dengan melibatkan seramai 80 pegawai dan anggota polis serta 50 orang awam.

“Suspek pertama ditangkap lebih kurang satu kilometer dari lokasi kejadian manakala suspek kedua pula kira-kira tiga kilometer,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This