Dua nelayan ditahan bersama syabu bernilai RM472,500

Dua nelayan ditahan bersama syabu bernilai RM472,500

GEORGE TOWN,. Dua nelayan termasuk seorang warga Thailand ditahan bersama 10.5 kilogram (kg) syabu bernilai RM472,500 sebaik tiba di Jeti Nelayan Sungai Gelugor, Batu Uban di sini tiga hari lalu.

Lelaki tempatan berusia 52 tahun dan lelaki warga Thailand berumur 36 tahun itu datang ke Pulau Pinang untuk menyerahkan dadah itu kepada sindiket penyeludupan dadah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata sepasukan polis bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Timur Laut menyerbu jeti itu pada 11.30 pagi hasil maklumat dan risikan dijalankan pihaknya.

“Semasa serbuan itu, dua lelaki berkenaan berada di atas bot nelayan dan pemeriksaan polis dalam bot tersebut menemukan satu guni yang disembunyikan di bawah pukat ikan, di dalam (guni) itu terdapat 10 bungkusan teh cina yang kesemuanya mengandungi syabu seberat 10.5kg.

“Berdasarkan siasatan awal, dua lelaki yang berperanan sebagai penghantar dadah itu dari Langkawi, Kedah dan berada di laut lebih 10 jam untuk sampai ke Pulau Pinang bagi menghantar semua dadah tersebut kepada sindiket di sini. Mereka (dua lelaki) mendapatkan bekalan syabu itu dari negara jiran,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Katanya, siasatan juga mendapati mereka menggunakan bot milik lelaki Thailand itu dan tersesat di laut sehingga ke Tanjung Dawai, Kedah kerana bot tersebut tidak mempunyai Sistem Pengesan Kedudukan Global (GPS) serta hanya bergerak berdasarkan persisir pantai untuk sampai ke Pulau Pinang.

Soffian berkata dua lelaki itu mendapat upah RM10,000 daripada sindiket pengedaran dadah untuk menghantar bekalan syabu berkenaan dan mereka mengakui ini kali pertama menghantar ke Pulau Pinang menggunakan jalan laut berikutan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Siasatan mendapati semua syabu bernilai RM472,500 itu adalah untuk pasaran di sekitar negeri ini dan polis tidak menolak kemungkinan sindiket pengedaran dadah itu mempunyai hubungan dengan rangkaian di luar negara,” katanya.

Beliau berkata lelaki Thailand itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri dan bekerja sebagai nelayan di Langkawi serta ujian air kencing mendapati mereka positif dadah.

“Kedua-dua lelaki itu kini direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dan menambah polis kini sedang giat mengesan sindiket pengedaran dadah yang terlibat dengan dua lelaki tersebut.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This