Dua pemain Labuan dipanggil sertai kem latihan kebangsaan B-23, Sabah B-21

Dua pemain Labuan dipanggil sertai kem latihan kebangsaan B-23, Sabah B-21

LABUAN,. Dua pemain Labuan, masing-masing dipanggil bagi menyertai kem latihan bagi skuad kebangsaan Bawah 23 (B-23) dan Sabah Bawah 21 (B-21).
Mereka adalah Nureizkhan Isa, 22, dari Kg Sg Lada dan Mohd Syahmi Idris, 21, dari Kg Sg Buton.

Nureizkhan, yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara, akan menyertai kem latihan berpusat bagi persediaan kejohanan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 B-23 di Phnom Penh, Kemboja, dijadualkan pada 14-26 Dis ini.

Sementara itu pemain tengah pertahanan Mohd Syahmi disenaraikan antara 30 pemain untuk Kelab Bolasepak Sabah (Sabah FC) B-21 musim ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Labuan Sophian Said berkata pemilihan kedua-dua pemain Labuan itu adalah pengiktirafan kepada bakat tempatan.

Beliau berkata Nureizkhan merupakan bekas pemain skuad Sabah B-21 dan telah mengikat kontrak dengan pasukan Sabah FC B-23.

“Nuriezkhan telah menandatangani kontrak dengan Sabah FC tahun lepas untuk bermain bersama pemain senior negeri, kami harap ini akan menjadi contoh kepada pemain muda Labuan,” katanya kepada Bernama pada Isnin.

Mohd Syahmi pula adalah antara tiga pemain Labuan yang dicalonkan untuk ujian pemilihan bersama lebih 50 pemain dari seluruh Sabah bagi persediaan Piala Presiden, iaitu kejohanan bagi pemain B-21, pada 24 Feb hingga 14 Julai ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This