Dua perlawanan ujian di Belanda sebelum jumpa Great Britain
KUALA LUMPUR,. Skuad hoki lelaki negara akan mengadakan dua perlawanan ujian menentang pasukan kelab di Belanda akhir bulan ini sebelum berdepan dengan Great Britain dalam pusingan kelayakan terakhir Sukan Olimpik Tokyo 2020 di London, awal bulan depan.
Ketua jurulatih skuad Malaysian Tigers, Roelant Oltmans, berkata, semasa latihan singkat di Belanda, beberapa bekas pemain utama dunia seperti pakar pukulan sudut Belanda, Taeke Taekema, jurulatih penjaga gol Belanda, Martirjn Dwyer dan bekas penyerang Australia, Michael McCann akan berkongsi pengalaman mereka dengan pemain.
“Pemain kini menunjukkan peningkatan hari demi hari tetapi mereka perlu sentiasa berfikiran positif dan harap kem latihan di Belanda akan membantu pasukan menjadi lebih baik,” katanya pada sidang media di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil, di sini, hari ini.
Beliau berkata skuad 21 pemain itu akan mengikuti kem latihan fizikal di Cameron Highlands bermula Isnin ini sebelum berlepas ke Belanda.
Pasukan Great Britain dibarisi pemain daripada England, Wales dan Scotland.
Dalam pada itu, penyerang negara, Muhammad Shahril Saabah, yakin dapat mempertajamkan sentuhan penyudah apabila berdepan Great Britain menerusi dua aksi pemanas badan di Belanda nanti.
“Kami sudah melakukan persediaan yang cukup rapi untuk berdepan Great Britain, sekarang kami lebih menumpukan kepada beberapa aspek tertentu yang dapat menjadi kekuatan pasukan di London nanti,” jelas Muhammad Shahril.
Berkongsi pandangan sama adalah pemain pertahanan negara, Syed Syafiq Syed Cholan yang berharap dapat menimba lebih banyak ilmu dengan tiga bekas pemain terkemuka berkenaan pada sesi latihan di Belanda..
Malaysia akan berdepan Great Britain pada 2 dan 3 Nov ini, dengan pemenang perlawanan berkenaan yang dikira dengan keputusan agregat, layak beraksi ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Untuk rekod, Malaysia tewas 0-1 kepada Great Britain pada pertemuan terakhir kedua-dua pasukan pada Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2017.
Malaysia kini dalam misi menamatkan kemarau layak ke Sukan Olimpik selepas kali terakhir menjejak kaki ke temasya itu padai edisi 2000 di Sydney, Australia.
— BERNAMA