‘Duit RM20 dalam kocek’

‘Duit RM20 dalam kocek’

KUALA LUMPUR=,. “Duit dalam kocek hanya tinggal RM20. Nak beli topeng muka pun tidak mampu,” itu keluhan pelakon, Mak Wan dalam situasi getir menghimpit kehidupan artis veteran yang tidak bekerja.

Bagaimanapun, Mak Wan yang lebih dikenali sebagai Mak Wan Latah bersyukur pengumuman Perdana Menteri (PM), Tan Sri Muhyidin Yassin berhubung Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), hari ini.

Mak Wan atau nama sebenarnya, Halimaton Saadiah Mohd Daud berkata, dia lega apabila rakyat yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat dan Perumahan Awam mendapat manfaat pengecualian bayaran sewa selama enam bulan.

Katanya, dia menyambut baik pelan yang dibentangkan PM.

“Saya tinggal di kediaman Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). Jika ada penggambaran, boleh saya bayar duit sewa.

“Bagaimanapun, saya sudah empat bulan tiada tawaran kerja. Secara kebetulan, isu penularan virus COVID-19 berlaku, lagilah tiada langsung tawaran berlakon.

“Pengumuman Perdana Menteri memberi pengecualian pembayaran sewa rumah PPRT sehingga tempoh enam bulan ditanggung kerajaan melegakan saya,” katanya kepada BH Online.

Pelakon drama 7 Hari Mencintaiku dan Kekasih Paksa Rela itu berkata, dia bersyukur mendapat pengecualian bayaran sewa rumah.

“Tenang hati. Jika tidak, pening kepala memikirkan nak bayar sewa rumah. Saya pula tinggal seorang diri.

“Anak sudah berkahwin dan tinggal berjauhan bersama keluarga mereka. Saya nak keluar rumah tiada topeng muka.

“Macam mana nak beli, duit dalam kocek hanya tinggal RM20. Makan pun tak tentu hala. Ubat sakit sudah lama habis,” katanya

“SENIMAN ada menghulurkan bantuan, tetapi saya tidak berani keluar rumah sebab tiada topeng muka,” katanya yang berpisah dengan bekas suami, empat tahun lalu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), Rahim Jailani berharap kerajaan tidak mengabaikan artis veteran yang terjejas teruk sejak arahan PKP.

Katanya, artis veteran menempuh detik sukar ketika ini.

“Mereka hanya dibayar gaji mengikut hari ketika penggambaran. Bahkan, ada di kalangan produser yang tidak mahu menjelaskan bayaran atas alasan penggambaran belum selesai apabila kerja perlu dihentikan serta merta.

“Jadi, dari mana artis nak dapat duit membeli makanan dan keperluan ketika arahan PKP dijalankan?,” katanya.

Pelakon filem Tuan Besar dan Serampang Tiga itu berkata, persatuan yang mewakili golongan selebriti tidak tahu mengadu kepada siapa dalam membincangkan kebajikan artis veteran supaya dapat didengar kerajaan.

“Kita mengharapkan artis veteran tidak dipinggirkan dalam mendapatkan sumbangan khas. Ia demi memastikan sumbangan kerajaan dapat dirasai semua lapisan masyarakat termasuk golongan selebriti.

“Hal ini perlu diselaraskan dan dilakukan dengan kerjasama persatuan yang mewakili artis,” katanya.

Katanya, buat masa ini, semua urusan dilakukan melalui talian, tetapi liputan internet lebih nazak daripada orang yang dijangkiti COVID-19.

“Artis veteran tidak pandai menggunakan liputan internet. Boleh jawab mesej menerusi aplikasi WhatsApp pun sudah dikira hebat, itupun ‘typo’ sana sini.

“Disebabkan itulah, saya minta segala bantuan diselaraskan oleh persatuan,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This