DUN Sarawak tidak akan bubar 6 Jun depan – Wan Junaidi

DUN Sarawak tidak akan bubar 6 Jun depan – Wan Junaidi

KUALA LUMPUR: Tanggapan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan terbubar secara automatik pada 6 Jun depan adalah tidak tepat. Memetik laporan Sinar Harian, Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menjelaskan ini kerana kerajaan Sarawak masih lagi tertakluk kepada ordinan darurat yang dilaksanakan sehingga 1 Ogos depan.

“Orang buat tanggapan bahawa DUN secara automatik akan terbubar pada 6 Jun ini tetapi sebenarnya tidak akan berlaku.

Pengisytiharan darurat telah menggantungkan Perlembagaan Malaysia dan juga semua negeri termasuk Sarawak. “Kalau darurat tidak dibubar, maknanya perlembagaan dalam penggal ini masih tergantung,” katanya.

Wan Junaidi berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Pelancaran Platform Warongku peringkat kebangsaan di SME Corp Malaysia di Platinum Sentral di sini, pada Ahad. Jelasnya lagi, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan berlaku sekiranya mendapat persetujuan daripada Yang di-Pertuan Agong, Yang di-Pertua Negeri dan Ketua Menteri Sarawak.

“Negeri tidak boleh adakan pilihan raya melainkan Yang di-Pertuan Agong berbincang dengan Yang di-Pertua Negeri dan Ketua Menteri.

“Apabila mereka bersetuju untuk mengisytiharkan hari pilihan raya di Sarawak, baru pilihan raya boleh diadakan,” ujarnya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, pilihan raya di Sarawak masih tidak sesuai untuk diadakan pada masa ini disebabkan kes harian COVID-19 di negeri itu masih tinggi dan tidak stabil

-Awani

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )