
Duta Vietnam kongsi kenangan manis di Malaysia
Oleh V. Sankara
KUALA LUMPUR, 6 Okt — Antara kenangan bakal dirindui Duta Vietnam Dr Le Quy Quynh apabila meninggalkan Malaysia kelak ialah ketenangan dan kedamaian yang dinikmatinya di saat menghabiskan hujung minggunya memancing di sebuah kolam semula jadi di Ipoh.
Berkongsi kenangan indah ketika berada di Malaysia, Quynh berkata beliau pastinya merindui semua sahabat yang dikenalinya semasa di negara ini, bukan hanya dalam kalangan diplomat, tetapi juga rakan-rakan memancingnya.
“Mereka membantu menjadikan lawatan semasa menjalan tugasnya sangat menyeronokkan dan bermakna. Saya pastinya akan kembali melawat Malaysia dalam masa terdekat,” kata Quynh kepada Bernama menerusi e-mail.
Diplomat berusia 61 tahun itu mengakhiri tugasnya sebagai duta berkuat kuasa 8 Okt setelah berkhidmat lebih tiga tahun di sini.
Mengulas lanjut, Quynh menyatakan beliau sangat gembira berada di Malaysia ketika berlaku perubahan penting dan bersejarah dalam politik Malaysia.
Beliau bertuah kerana dapat menyaksikan bagaimana ahli dan parti politik bekerja keras serta saling bertolak ansur walaupun terdapat perbezaan dan perselisihan – semuanya demi kemajuan negara.
“Satu perkara yang dapat saya saksikan ialah sepanjang sejarah hubungan antara Vietnam dan Malaysia, tidak kira parti politik mana yang berkuasa, dasar-dasar Malaysia terhadap Vietnam sentiasa sama dan tidak berubah.
“Dan itulah asas bagi hubungan baik kedua-dua negara untuk berkembang menjadi Rakan Perkongsian Strategik seperti sekarang,” kata duta itu.
Beliau turut menyatakan pemerintah Malaysia telah melakukan tugas yang luar biasa bagi memelihara alam sambil membangunkan negara, dan rakyat Malaysia juga mengetahui pentingnya peranan mereka dalam memastikan negara ini tetap hijau.
“Terlalu banyak perkara yang sukar dilupakan mengenai negara anda yang indah ini. Paling utama, saya pastinya akan merindui pepohon hijau dan taman-taman indah bukan sahaja di Kuala Lumpur tetapi di seluruh kawasan lain di Malaysia yang sempat saya kunjungi ketika berada di sini,” kata Quynh.
— BERNAMA