Eain Yow, Wee Wern ketuai cabaran negara pada Terbuka Malaysia 2019
KUALA LUMPUR,. Pemain utama negara, Ng Eain Yow dan Low Wee Wern akan mengetuai cabaran negara pada Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia 2019 di Pusat Skuasy Kebangsaan, Bukit Jalil, di sini, mulai 25 hingga 29 Sept ini.
Menurut kenyataan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Eain Yow, selaku pemain lelaki nombor satu negara dijangka mengakhiri kemarau kejuaraan selama sembilan tahun selepas Azlan Iskandar pada 2010.
Eain Yow, yang merupakan pemain pilihan keempat kejohanan, menerima ‘bye’ pada pusingan pertama sebelum menentang pemenang antara wakil tempatan Adden Idrakie dan pemain Hong Kong, Henry Leung pada pusingan kedua.
Jika berjaya melepasi pusingan kedua, Eain Yow dijangka bertemu pilihan keenam, Tayyab Aslam dari Pakistan di suku akhir dan kemungkinan berpotensi menentang pemain nombor 26 dunia, Max Lee dari Hong Kong di peringkat separuh akhir.
Pada Mei lalu, Eain Yow mengalahkan Max Lee pada suku akhir Kejohanan Individu Asia di sini.
Selain Eain Yow dan Adden, pemain lelaki negara lain yang beraksi pada kejohanan tersebut ialah Ivan Yuen, Syafiq Kamal, Ong Sai Hung dan Darren Rahul Pragasam.
Dalam kategori wanita, Wee Wern dijangka mempertahankan gelaran juara berdasarkan undian yang mudah bagi pemain nombor 34 dunia itu.
Beliau dijangka bertemu rakan sepasukan yang juga pemenang gangsa remaja dunia, Aifa Azman di pusingan kedua.
Selain itu, wakil wanita negara lain ialah Rachel Arnold, Chan Yiwen, lai Wen Li, Aika Azman dan Ooi Kah Yan.
Kategori lelaki menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah US$30,000 (RM125,403) dan US$20,000 (RM83,602) untuk kategori wanita.
— BERNAMA