Econsave kembalikan semula produk berlabel “palm oil free” kepada pembekal
JOHOR BAHRU,. Econsave Cash & Carry Sdn Bhd (Econsave) akan memulangkan semula produk yang mempunyai label “palm oil free” kepada pembekalnya.
Pengurus Besar Econsave Mas Imran Adam berkata langkah untuk tidak lagi menjual produk yang mempunyai label berkenaan adalah bagi menyokong usaha kerajaan dalam kempen “Sayangi Sawitku”.
“Menyokong sebarang usaha kerajaan dalam kempen Sayangi Sawitku adalah menjadi dasar kami, yang antara tujuannya untuk menaikkan taraf hidup rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Beliau berkata sebagai syarikat tempatan, Econsave sentiasa tegas dalam menolak sebarang usaha pihak luar yang ingin menggugat serta memberikan kesan negatif kepada ekonomi negara.
Dalam masa sama, Econsave juga menyeru kepada rakyat Malaysia agar sentiasa menyokong usaha kerajaan untuk memperkasakan komoditi yang menjadi punca pendapatan sebilangan besar penduduk di negara ini.
Awal tahun ini, Kementerian Industri Utama melancarkan kempen “Sayangi Sawitku” untuk memerangi kempen antiminyak sawit yang dijalankan negara luar.
Menteri, Teresa Kok Suh Sim baru-baru ini menyeru supaya pasar raya tempatan tidak menyokong tindakan antiminyak sawit dengan menjual produk luar yang berlabel “bebas minyak sawit” di dalam negara.
— BERNAMA