Edisi keenam Festival Makanan Mexico tampil kepelbagaian, serlah persamaan – Duta

Edisi keenam Festival Makanan Mexico tampil kepelbagaian, serlah persamaan – Duta

KUALA LUMPUR,. ‘Flavours of Mexico in Malaysia VI’, festival makanan tradisional Mexico yang kini memasuki edisi keenam, mampu bertindak sebagai program kebudayaan bagi memperkukuh hubungan dua hala antara Mexico dan Malaysia melalui persamaan yang dikongsi dalam masakan kedua-dua negara.

Bercakap kepada Bernama baru-baru ini, Duta Mexico ke Malaysia Carlos Felix Corona berkata terdapat kisah menarik tentang Mole, juadah dan sos ikonik yang pada asalnya digunakan dalam pelbagai masakan Mexico dan merupakan tarikan utama festival itu, namun tidak ramai yang menyedarinya.

“Perkara paling menarik tentang Mole ialah ia serupa dengan kari Malaysia. Ia adalah sejenis sos yang diperbuat daripada pelbagai bahan berbeza, termasuk rempah ratus dan cili. Hanya (yang membezakannya dengan kari ialah) coklat dimasukkan ke dalam Mole.

“Mole memainkan peranan penting dalam semua perayaan utama masyarakat kami yang menggambarkan kepelbagaian manakala kari pula sama seperti sos ini (bergantung kepada rantau) dan juga merupakan juadah yang boleh didapati di seluruh Asia.

“Kami mempromosi juadah ini kerana kami dapat merasakan hubungan antara Mole dan kari. Hasrat kami ialah untuk membolehkan rakan-rakan kami di Malaysia mengetahui persamaan dan berapa banyak unsur biasa yang kita kongsi sebagai satu masyarakat, kumpulan dan negara,” katanya.

Corona berkata pengiktirafan yang diberikan kepada makanan Mexico oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai sebahagian Warisan Kebudayaan Kemanusiaan Tidak Ketara bakal menjadi faktor yang bakal menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk menikmati juadah tersebut selain mengetahui lebih banyak maklumat mengenai negara ketiga terbesar di Amerika Latin itu.

“Melalui makanan, terdapat satu lagi promosi penting yang ingin kami kongsikan bersama rakan-rakan kami di Malaysia secara tidak langsung iaitu produk pelancongan, kebudayaan dan pertanian Mexico.

“Kini adalah penting untuk kita lebih saling mengenali. Kita perlu menghubungkan masyarakat kita (dari kedua-dua negara) dan mengambil peluang daripada semua persamaan ini untuk kita lebih saling memahami. Saya secara peribadi percaya ini adalah asas untuk mewujudkan hubungan antara rakyat dengan rakyat,” katanya.

Ditanya sama ada kedutaan itu bercadang memperluas promosi makanan Mexico di luar Lembah Klang, Corona berkata fasilitasi yang sempurna diperlukan untuk menjayakannya.

“Kami perlu melakukan perkara ini dengan berhati-hati kerana kami ingin mengekalkan keaslian sajian. Ia bakal menjadi cabaran (untuk melakukannya di luar KL) namun ia tidak mustahil,” katanya.

Acara itu berlangsung dari 14 hingga 18 Okt dan orang ramai sekitar Lembah Klang boleh menikmati promosi istimewa bagi menu festival di restoran Mexico yang terpilih iaitu Botanica + Co, Fresca Mexican Kitchen & Bar, JOLOKO, La Boca Latino Bar dan Nick’s Restaurant & Bar di Kuala Lumpur.

Cef di kesemua restoran akan menyediakan hidangan menggunakan bahan-bahan asli dari Mexico.

Edisi keenam ‘Flavours of Mexico in Malaysia’ akan dilancarkan pada Khamis di Hotel JW Marriot.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )