Ekonomi perlu dibuka semula secara teratur, lancar – NCCIM

Ekonomi perlu dibuka semula secara teratur, lancar – NCCIM

KUALA LUMPUR,. Semua pihak merangkumi kerajaan Persekutuan dan Negeri, komuniti perniagaan, majikan, pekerja dan orang ramai perlu bekerjasama bagi memastikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula esok, dapat dilaksanakan secara lancar dan teratur.

Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) berkata aspek keselesaan tidak boleh diutamakan dan sebaliknya semua rakyat Malaysia perlu terus mengamalkan langkah-langkah pencegahan sewajarnya demi kesihatan bagi mengelak gelombang baharu pandemik COVID-19.

“Pada saat kritikal ini, kita semua perlu bersatu untuk membuktikan keazaman, keyakinan dan kesungguhan memerangi virus ini dan menyokong semua usaha bagi menghidupkan semula ekonomi,” kata Presiden NCCIM, Tan Sri Ter Leong Yap dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga yakin kerajaan telah mengambil kira semua aspek termasuk tiada kompromi terhadap risiko kesihatan orang ramai sebelum memutuskan untuk membenarkan hampir semua sektor ekonomi dan kegiatan perniagaan dibuka semula.

PKPB itu turut menetapkan pematuhan ketat dari segi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan bagi memastikan keselamatan komuniti dan pekerja dilindungi.

Beliau berkata NCCIM juga memahami keperluan kerajaan untuk mencari keseimbangan antara melindungi kesihatan umum dan kemampanan ekonomi serta sumber pencarian rakyat.

Menurutnya, lanjutan PKP telah memberi impak kepada perniagaan termasuk perusahaan mikro dari segi defisit aliran tunai, kerugian pendapatan yang ketara, perniagaan ditutup dan menyebabkan kehilangan kerja dan pendapatan.

“Krisis ekonomi yang berpanjangan dan digabungkan pula dengan peningkatan kadar pengangguran boleh menyebabkan keadaan sukar dikawal dan bertukar dalam bentuk masalah sosial,” katanya.

Ter berkata usaha membendung pandemik COVID-19 akan memakan masa sehinggalah vaksin atau perubatan antiviral itu dapat dihasilkan.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan PKPB itu sebagai memastikan ekonomi terus berfungsi, membantu kelangsungan dan kemampanan perniagaan yang sebaliknya mampu menyelamatkan beratus-ratus pekerjaan serta menjamin pendapatan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This