Ekonomi Thailand menguncup 6.1 peratus pada 2020

Ekonomi Thailand menguncup 6.1 peratus pada 2020

Oleh Linda Khoo Hui Li

BANGKOK,. Ekonomi Thailand mencatatkan penguncupan 6.1 peratus pada 2020, penyusutan terbesar yang dialaminya sejak Krisis Kewangan Asia 1998.

Dalam kenyataan hari ini, Majlis Ekonomi dan Pembangunan Sosial Negara (NESDC) berkata ekonomi negara itu susut 4.2 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2020 walaupun ia lebih baik daripada penurunan 6.4 peratus pada suku sebelumnya.

“Pelarasan bermusim, ekonomi itu meningkat 1.3 peratus daripada suku ketiga 2020.

Pada 2020, ekonomi Thai mencatatkan penurunan sebanyak 6.1 peratus berbanding pengembangan 2.3 peratus pada 2019,” katanya.

Sementara itu, NESDC menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi Thailand pada tahun ini kepada 2.5-3.5 peratus daripada unjuran awal pertumbuhan 3.5-4.5 peratus berikutan krisis COVID-19 yang telah menjejaskan ekonomi negara itu.

Ia menjangka pengembangan ekonomi akan disokong terutamanya oleh pemulihan ekonomi global dan jumlah perdagangan global, langkah rangsangan kerajaan, peningkatan semula permintaan swasta peringkat domestik dan kesan asas rendah yang luar biasa pada 2020.

Ia mengunjurkan eksport meningkat sebanyak 5.8 peratus pada tahun ini, menokok daripada 6.6 peratus penguncupan pada 2020.

NESDC turut menyemak semula unjuran jumlah eksport untuk meningkat kepada pertumbuhan 3.8 peratus daripada 3.2 peratus berbanding unjuran sebelum ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )