Ekosistem kukuh Malaysia beri manfaat kepada industri peralatan perubatan

Ekosistem kukuh Malaysia beri manfaat kepada industri peralatan perubatan

KUALA LUMPUR,. Industri peralatan perubatan Malaysia mencatatkan pertumbuhan luar biasa dari segi reka bentuk dan pembuatan produk berkelas dunia, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Agensi penggalakan perdagangan itu menjelaskan, sektor tersebut meraih manfaat daripada sokongan ekosistem kukuh di negara ini dalam industri semikonduktor; jentera dan peralatan; elektrik dan elektronik; tekan tera logam dan plastik yang menyediakan persekitaran diperlukan untuk menjadikan Malaysia sebagai lokasi pembuatan ideal bagi peralatan perubatan.

Dalam kenyataan pada Rabu, MATRADE menambah eksport peralatan perubatan Malaysia merekodkan pertumbuhan dua digit bernilai RM29.99 bilion atau AS$7.16 bilion pada 2020.

Lebih 90 peratus peralatan perubatan yang dibuat di Malaysia dieksport ke 10 destinasi utama iaitu Amerika Syarikat (AS), Jerman, Singapura, Jepun, Belgium, China, Netherlands, Brazil, United Kingdom (UK) dan Australia, menurutnya.

MATRADE menekankan bahawa kedudukan Malaysia sebagai pengeluar dan pengeksport sarung tangan getah terbesar dunia, yang pada masa ini menyumbang 60 peratus kepada pasaran dunia, telah mendorong negara ini berkembang ke dalam bidang peralatan perubatan guna habis lain.

“Ini termasuk pelbagai produk perubatan berkualiti seperti barang dan radas, picagari, sutur, jarum, kateter, perentak dan lain-lain. Malaysia pada masa ini menyumbang 80 peratus kepada bekalan kateter dunia.

“Sektor yang pesat dan amat inovatif ini juga membekalkan produk terkini dari segi teknologi dan bernilai tambah lebih tinggi seperti produk perentak jantung, sten, peranti implan ortopedik, elektro-perubatan, terapeutik, pemantauan serta kit ujian diagnostik pantas,” tambahnya.

Menurutnya, kini syarikat Malaysia juga menghasilkan item kapnografik iaitu komponen yang amat diperlukan bagi prosedur anestesia dan pemantauan penjagaan rapi.

Syarikat Malaysia juga semakin banyak melakukan penyelidikan dan pembangunan terutama dalam menggabungkan robotik, automasi, proses bersepadu dan Internet Pelbagai Benda (IoT) ke dalam proses pembuatan mereka, sejajar dengan peralihan negara kepada Revolusi Perindustrian Keempat.

“Ini telah mendorong pencepatan kadar inovasi dan langkah merevolusikan pembangunan produk, proses pembuatan dan model perniagaan,” jelasnya.

Agensi itu menambah, pihaknya sentiasa menyediakan bantuan untuk memastikan penyertaan syarikat Malaysia dalam pameran perdagangan dunia seperti Arab Health serta Medica di Eropah.

Mesyuarat secara maya juga giat dijalankan semasa tempoh sekatan pergerakan, iaitu menerusi program eBizMatch antara pembekal Maaysia dan pembeli berpotensi dari AS, UK, Netherlands, Emiriah Arab Bersatu, Afrika Selatan, Hong Kong dan Australia, jelasnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This