Ekspo Hartanah SHEDA peluang pembeli rumah manfaatkan pengecualian duti setem

Ekspo Hartanah SHEDA peluang pembeli rumah manfaatkan pengecualian duti setem

KUCHING,. Ekspo Hartanah Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) yang berlangsung dari 30 September hingga 2 Oktober 2022 merupakan peluang terbaik bagi pembeli rumah untuk memanfaatkan pengecualian duti setem menerusi inisiatif Pemilikan Perumahan Keluarga Malaysia (i-MILIKI).

Diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dengan rangkaian hartanah tersedia, pengunjung akan dapat meluangkan masa mereka untuk menyemak imbas, membandingkan dan memilih hartanah ideal yang sesuai dengan gaya hidup dan aspirasi mereka.

Faktor luaran mempengaruhi industri perumahan dan hartanah seperti peningkatan kos bahan binaan, kekurangan buruh dan peningkatan tahap Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Berikutan itu, kos pembinaan tidak akan dapat dielakkan dan bakal meningkat dengan ketara pada tahun-tahun akan datang.

Memandangkan terdapat peningkatan yang boleh dijangka terutama dalam kos dan bantuan kewangan sedia ada, kini merupakan masa terbaik untuk membeli hartanah.

Sehubungan itu, bakal pembeli rumah digalakkan menempah unit pilihan mereka di ekspo tersebut pada hujung minggu ini untuk menjadi yang pertama dalam barisan sebaik sahaja warta diterbitkan dan mekanisme dilaksanakan.

Penaja utama Ekspo Hartanah SHEDA 2022 ialah Naim Land Sdn Bhd, Lee Onn Development Sdn Bhd, Chen Ling Development Sdn Bhd dan CMS Berhad melalui anak syarikatnya Cahya Mata Sarawak Property Development Sdn Bhd.

Ekspo ini disokong oleh Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS).

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Julai tahun ini mengumumkan pengecualian duti setem 100 peratus bagi pemilikan rumah pertama berharga RM500,000 dan ke bawah menerusi inisiatif i-MILIKI mulai 1 Jun 2022 hingga Disember 2023.

Beliau berkata insentif pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus pula melibatkan rumah berharga melebihi RM500,000 hingga RM1 juta.

Pengecualian terpakai kepada perjanjian pinjaman dan instrumen pindah milik untuk pembelian rumah pertama.

Selain itu, Kerajaan Sarawak juga telah membolehkan bakal pemilik rumah dalam kategori B40 memiliki rumah melalui geran khas melalui Mutiara Mortgage and Finance (MMF) di bawah Skim Bantuan Deposit Perumahan (HDAS).

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg terdahulu mengumumkan RM40 juta telah diperuntukkan untuk tujuan ini dan pembeli dalam kategori ini mungkin boleh menerima sehingga RM10,000 seorang untuk membantu pembayaran deposit.

Selain itu, baki pembiayaan pinjaman melalui MMF ditetapkan pada kadar faedah satu peratus.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )