
Eksport kayu negara naik 4.9 peratus kepada RM22.9 bilion pada 2024
PUTRAJAYA,. Nilai eksport produk perkayuan negara meningkat sebanyak 4.9 peratus kepada RM22.9 bilion pada tahun lepas berbanding pada 2023, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani (gambar).
Beliau berkata industri perkayuan merupakan penyumbang eksport ketiga terbesar bagi produk agrikomoditi selepas minyak sawit (RM114.4 bilion) dan getah (RM33.7 bilion).
Johari berkata antara destinasi eksport produk perkayuan tempatan ialah Amerika Syarikat, Eropah dan Asia.
Namun begitu, menurut beliau jumlah penyertaan bumiputera secara keseluruhan dalam industri perkayuan masih berada di tahap yang rendah.
“Walaupun terdapat peningkatan berbanding pada 2023, usahawan bumiputera masih lagi menyumbang kurang daripada satu peratus atau RM44 juta daripada jumlah keseluruhan eksport kayu dan produk kayu.
“Kebanyakan syarikat usahawan bumiputera juga masih berada dalam kategori perusahaan kecil atau mikro,” katanya sewaktu hadir pada Simposium Pemerkasaan Bumiputera dalam Industri Perkayuan di sini hari ini.
–BERNAMA