Eksport keluaran getah berjumlah RM15.63 bilion pada separuh pertama 2022

Eksport keluaran getah berjumlah RM15.63 bilion pada separuh pertama 2022

KUALA LUMPUR,. Eksport keluaran getah Malaysia pada separuh pertama 2022 berjumlah RM15.63 bilion berbanding RM39.83 bilion yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lepas, demikian menurut Majlis Getah Malaysia (MRC).

Bagaimanapun, eksport getah pada separuh pertama 2022 meningkat 1.01 peratus kepada RM4.61 bilion daripada RM4.56 bilion sebelumnya, kata MRC dalam satu kenyataan hari ini.

Produk-produk lateks yang lain (bukan sarung tangan) menunjukkan pengembangan positif sebanyak 35.5 peratus kepada RM1.23 bilion bagi tempoh itu berbanding RM907 juta pada separuh pertama 2021, berikutan permintaan tinggi terhadap produk seperti tiub kateter, produk busa, kondom dan mainan getah.

“Produk busa terutamanya tilam lateks merekodkan peningkatan tertinggi pada 182.4 peratus pada separuh pertama tahun ini kepada RM202.5 juta daripada RM71.7 juta pada tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.

Menurut MRC, terdapat ruang untuk eksport produk tayar Malaysia berkembang memandangkan ia telah mencatatkan peningkatan sebanyak enam peratus kepada RM883.2 juta bagi separuh pertama tahun ini berbanding RM832.8 juta pada 2021.

Tiga destinasi eksport utama bagi produk tayar pada separuh pertama 2022 ialah Amerika Syarikat dengan peningkatan 14.4 peratus kepada RM403.3 juta, Brazil (36.9 peratus kepada RM104.7 juta) dan Thailand (25 peratus kepada RM44.6 juta).

Ketua Pegawai Eksekutif MRC Nor Hizwan Ahmad berkata majlis itu kini memberi tumpuan kepada pelaburan baharu, kemajuan teknologi dan produk yang lebih hijau untuk mengembangkan eksport.

“Industri tayar akan mendapat faedah daripada kemajuan teknologi, proses pengeluaran mesra alam, penggunaan dan juga rawatan tayar akhir hayat,” katanya.

Sementara itu, Lembaga Getah Malaysia (LGM) mengumumkan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) diaktifkan bagi pekebun kecil di Sabah pada Ogos tetapi tidak diaktifkan untuk Semenanjung dan Sarawak.

Menurut LGM, harga purata peringkat ladang bagi ‘cuplump’ atau getah sekerap pada Ogos di Sabah ialah RM2.30 sekilogram, dan bayaran oleh IPG ialah 20 sen sekilogram bagi 50 peratus kandungan getah kering (KGK) dan 40 sen per kilo bagi 100 peratus KGK.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )