Elemen tempatan jadi kekuatan filem animasi Upin & Ipin raih anugerah peringkat antarabangsa

Elemen tempatan jadi kekuatan filem animasi Upin & Ipin raih anugerah peringkat antarabangsa

KUALA LUMPUR,. Elemen tempatan yang diterapkan menerusi filem animasi ‘Upin dan Ipin: Keris Siamang Tunggal’ yang membawa kisah hikayat dongeng Melayu lama, menjadi antara kekuatan serta pemangkin filem terbitan Les’ Copaque Production Sdn Bhd untuk bersaing dengan filem animasi antarabangsa.

Pengarah Urusannya Burhanuddin Md Radzi berkata kekuatan itu terbukti dengan kejayaan filem tersebut apabila merangkul Anugerah Filem Cetera Terbaik pada Festival Animasi Antarabangsa 2019 (Animaze) di Montreal, Kanada, bulan lepas.

Burhanuddin berkata ia merupakan hasil pendekatan berbeza yang menjadi elemen filem animasi tempatan itu berbanding filem animasi antarabangsa terutama dari Barat yang mengetengahkan penceritaan agak ‘cliche’.

Selepas kejayaan filem animasi itu memenangi beberapa anugerah, Burhanuddin optimis ingin menghantar penyertaan ke beberapa festival terpilih lain di peringkat antarabangsa.

“Ternyata usaha kita mendatangkan hasil dan ia menjadi pembakar semangat kepada kejayaan berterusan yang bakal dicapai oleh filem animasi itu di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurutnya lagi, filem animasi itu turut terpilih mewakili negara untuk bersaing bersama lima filem lain dari rantau Asia termasuk Australia dan New Zealand bagi merebut trofi emas kategori Filem Cereka Terbaik pada Asian Academy Creative Awards 2019 (AAA) di Singapura, 5 Dis ini.

Filem animasi yang mula ditayangkan pada 21 Mac lepas itu berjaya meraih lebih RM26 juta selepas tiga minggu ditayangkan di Malaysia malah turut tersenarai bersama 32 filem animasi antarabangsa lain bagi pencalonan Anugerah Academy atau Oscars 2020 bagi kategori Filem Animasi Terbaik.

“Sekurang-kurangnya pihak kami sudah cuba menghantar penyertaan dan jika menang ia membuktikan produk tempatan juga layak dibawa ke pentas antarabangsa,” kata Burhanuddin.

Beliau berkata filem yang menelan kos RM20 juta itu turut tersenarai sebagai finalis Filem Cereka Animasi Terbaik di Festival dan Ekspo Animasi Antarabangsa Palm Springs 2019 yang akan berlangsung di California, Amerika Syarikat pada 14 dan 15 Dis ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )