Empat hari Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di Sarawak

Empat hari Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 di Sarawak

PUTRAJAYA,. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak akan menganjurkan Program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 selama empat hari bermula pada 24 Februari ini di Tebingan Sungai Kuching, Sarawak.

MOTAC dalam satu kenyataan hari ini berkata program itu bertujuan mendekatkan masyarakat umum khususnya yang berada di Sarawak dengan kegiatan seni budaya dan pelancongan Malaysia.

Menurutnya ia juga bertujuan mempromosi Kuching sebagai Bandar Raya Kreatif di peringkat Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah kategori gastronomi – World Craft City.

Antara aktiviti program ialah Festival Gendang Sarawak, Festival Kraf Sarawak, Peragaan Busana Kraf Tekstil Malaysia, Pameran Gastronomi, Treasure Hunt, Konsert Sape dan Persembahan Bunga Api dan Muzikal Water Fountain.

“Konsert Sape selama dua jam tanpa henti pada 27 Feb merupakan elemen cukup unik, kali ini dengan melibatkan artis muzik sape dan penyanyi tempatan, selain bakal diadakan di atas pentas terapung di Sungai Sarawak,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai yang lengkap vaksinasi dijemput hadir ke program yang bermula pukul 10 pagi hingga 11 malam itu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This