Empat individu Pengedar dadah ke tali gantung – PDRM

Empat individu Pengedar dadah ke tali gantung – PDRM

SIBU,. Tiga warga tempatan dan seorang warga China dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi semalam selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengedar dadah.

Tertuduh Lee Ee Feng, 27, Henry Wong Chun Kiet, 28, Rina Abdullah, 28, dan Zhang Hai Ting, 28.

Mereka menghadapi dua pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup. Jika tertuduh tidak dijatuhkan hukuman mati, dihukum sebat tidak kurang daripada 15 sebatan.

Mereka juga didapati bersalah atas enam pertuduhan memiliki dadah mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam menjatuhkan hukuman itu, Hakim Mahkamah Tinggi Dr Lim Hock Leng berkata, pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes di luar keraguan munasabah.

Beliau berkata, identiti dan berat dadah, pemilikan sebenar dan niat bersama telah berjaya dibuktikan dalam kes.

“Pemilikan sebenar telah dipastikan, anggapan pemerdagangan tercetus yang mana empat tertuduh gagal menangkis imbangan kebarangkalian.

“Dalam hal itu, mahkamah telah mempertimbangkan isu dan pembelaan yang dibangkitkan oleh peguam bela bagi orang yang dituduh termasuk dakwaan ketidakbolehterimaan kenyataan saksi, pencarian dilakukan tanpa kehadiran tertuduh, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tidak berhasil, laporan polis tidak boleh diubah dengan keterangan parol, selain antara lain, keterangan berkaitan tombol pintu yang pecah,” katanya.

Beliau dengan itu menjatuhkan hukuman mati ke atas empat tertuduh bagi dua pertuduhan mengedar dadah mengikut Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952.

Bagi pertuduhan memiliki dadah, mereka dijatuhkan hukuman penjara antara satu tahun hingga tiga tahun. Semua hukuman penjara berjalan serentak.

Tertuduh ditahan pada 13 Julai 2019 selepas sepasukan anggota polis menyerbu sebuah rumah di Lorong Wong King Huo kira-kira jam 11.45 pagi.

Berdasarkan laporan berita, tangkapan itu membawa kepada rampasan pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM229,410.

Sementara itu, tertuduh diwakili Jacob Wong dan Augustine Liom.

Timbalan Pendakwa Raya terdiri daripada Yong Suk Hui, Rex Heng Yi Min dan Mohammed Ali Hussein.

–UB

CATEGORIES
TAGS
Share This