Empat pasukan Liga Malaysia rebut Piala SMJ mulai semalam
KOTA KINABALU,. Empat pasukan Liga Malaysia bakal berentap bagi merebut kejuaraan Piala Sabah Maju Jaya (Piala SMJ) 2022 yang bermula semalam hingga 18 Febuari ini.
Kejohanan yang akan berlangsung Stadium Likas di sini akan disertai Sabah FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Kelantan FC dan Sarawak United FC.
Pengarah Teknikal Sabah FC Scott Ollerenshaw berkata kejohanan itu merupakan langkah proaktif Sabah FC untuk membuat perlawanan pramusim tanpa perlu ke luar negeri mahupun negara yang memerlukan kos tinggi.
“Sudah pasti kita mengharapkan kejohanan seperti ini akan dapat diteruskan pada masa hadapan sekali gus dapat meningkatkan industri sukan pelancongan di Sabah yang cukup terkenal dengan pelbagai destinasi menarik.
“Selain itu juga kita mahu memberi peluang kepada peminat bola sepak di Sabah menyaksikan lebih dekat penampilan dan kemampuan para pemain Sabah FC dalam pra musim ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Ollerenshaw berkata kejohanan itu juga sebagai ruang melihat keserasian pemain Sabah FC sekali gus sebagai persediaan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia.
Piala SMJ akan menggunakan format “round-robin” di mana setiap pasukan akan bermain tiga perlawanan dan juara akan ditentukan menerusi mata, beza jaringan, jumlah jaringan dan “fair play”.
Perlawanan pertama hari ini akan menemukan Sabah FC dengan Kelantan FC dijadualkan berlangsung jam 9 malam, manakala Kedah Darul Aman FC akan menentang Sarawak United FC dijadualkan berlangsung jam 4.15 petang.
— BERNAMA