Empat sahabat terserempak harimau belang di Jalan Gua Musang-Lojing

Empat sahabat terserempak harimau belang di Jalan Gua Musang-Lojing

GUA MUSANG,. Perjalanan empat sahabat dari Cameron Highlands menuju ke Kuala Terengganu pasti tidak dapat dilupakan apabila mereka terserempak dengan seekor harimau belang di Jalan Gua Musang-Lojing, di sini semalam.

Norra Haiyu Rashid, 44, berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 3.15 petang semasa keempat-empat mereka yang merupakan penjawat awam, baru balik dari menghadiri kursus di Cameron Highlands apabila terlihat harimau belang itu keluar dari kawasan semak dan berkeliaran di bahagian bahu jalan.

“Kami berhenti dan merakam kejadian itu dari dalam kereta, selepas 20 minit harimau belang itu masuk semula ke dalam semak,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau berkata mamalia itu kelihatan kurus, malah pergerakannya tidak lancar seolah-olah cedera pada bahagian kaki, dan beliau telah membuat laporan kepada Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) hari ini.

Sementara itu Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berkenaan kejadian itu.

“Anggota Perhilitan telah ke lokasi kejadian. Perangkap juga telah dipasang di kawasan sekitar untuk menangkap harimau berkenaan. Selain itu, rondaan berterusan turut dilaksanakan oleh anggota Perhilitan Gua Musang,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This