Enam dikuarantin di Purnama Hotel, Limbang

Enam dikuarantin di Purnama Hotel, Limbang

LIMBANG,. Purnama Hotel Limbang yang dijadikan pusat kuarantin daerah Limbang menempatkan enam individu yang baharu balik dari luar Sarawak setakat kelmarin.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, Purnama Hotel sebelum ini bersetuju dijadikan pusat kuarantin untuk daerah Limbang.

“Kita ada berbincang dengan pihak Purnama Hotel untuk menjadikan hotel itu sebagai pusat kuarantin terutama bagi pesakit kes yang disyaki (PUI) atau kes dalam pemantauan (PUS) dalam tempoh 14 hari termasuk mereka yang baharu balik dari luar Sarawak seperti yang diputuskan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri,” katanya ketika dihubungi semalam.

Jelas ADUN Bukit Kota itu, kerajaan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah mahu pusat kuarantin dijadikan sebagai tempat yang dapat memisahkan pesakit daripada orang ramai.

“Hotel memenuhi kriteria sebagai pusat kuarantin yang memisahkan pesakit dengan orang ramai kerana mempunyai bilik terasing dengan kemudahan bilik mandi,”katanya.

Sementara itu katanya, hampir seluruh kawasan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota menerima agihan sumbangan makanan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Selain luar bandar, sumbangan makanan juga diagihkan di kawasan bandar dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, Pusat Khidmat Parlimen Limbang dan Pusat Khidmat DUN Bukit Kota, selain melibatkan kawasan DUN Batu Danau merangkumi sekitar 9,000 Ketua Isi Rumah di daerah ini,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This