EPL cadang kembali Jun ini

EPL cadang kembali Jun ini

LONDON,. LIga Perdana Inggeris mensasarkan untuk kembali beraksi pada 1 Jun bagi melengkapkan saingan musim ini dalam tempoh enam minggu sebelum kempen 2020-21 bermula pada Ogos.

Perancangan itu adalah senario terbaik bagi mengelak kerugian kelab-kelab yang terpaksa meneruskan pembayaran gaji ketika kempen tertangguh akibat pandemik COVID-19.

Pada 13 Mac lalu, kesemua perlawanan bola sepak peringkat elit di England, termasuk Liga Perdana, ditangguhkan sehingga 4 April dan kemudian dilanjutkan sehingga 30 April.

Penangguhan kejuaraan Euro 2020 untuk tempoh setahun, bagaimanapun memberi ruang buat kalendar domestik untuk ditamatkan sekiranya situasi kesihatan membenarkan.

Kontrak pemain, di antaranya ada yang akan berakhir pada Jun, mampu menjadi isu walaupun badan induk bola sepak dunia FIFA berkata akan melihat kemungkinan pengecualian.

Dalam perancangan itu, saingan Liga Perdana dan Piala FA akan disambung dengan perlawanan diadakan secara tertutup.

Kempen 2020-21 akan bermula selepas rehat singkat pada 8 Ogos, sekali gus membolehkan liga memenuhi komitmen musim kedua mereka dalam perjanjian penyiaran untuk tiga tahun yang bernilai 9.2 bilion pound (RM47.5 bilion). – REUTERS

CATEGORIES
TAGS
Share This