Epsom College lancar program A-Level – Tony Fernandes
NILAI,. Epsom College in Malaysia (ECiM) hari ini melancarkan program A-level bermula tahun depan, dengan menawarkan pendidikan yang mampu ditanggung kepada pelajar tempatan.
Pengerusi Lembaga Pengelola Tan Sri Tony Fernandes berkata program baharu A-level selama 18 bulan yang bermula pada Januari tahun depan hanya tersedia untuk Pelajar Hari, menjadikannya pilihan ideal untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ingin memulakan pengajian sebaik selepas peperiksaan.
“Kami mengalu-alukan pelajar dari semua latar belakang dan kebolehan dengan pengurangan yuran daripada lebih RM180,000 untuk peringkat A-level selama dua tahun kepada RM40,000 untuk program 18 bulan ini. Ini menjadi impian saya apabila kami menubuhkan sekolah ini sejak bertahun-tahun lalu … kami mengurangkan yuran supaya ramai orang dapat mendapat pendidikan yang cemerlang.
“Idea (mengurangkan yuran) adalah yuran khas untuk program selama 18 bulan. Ia bukan untuk menjana keuntungan tetapi untuk menawarkan pendidikan terbaik kepada seberapa ramai orang supaya mendapat faedah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program A-level selama 18 bulan di sini, hari ini.
Turut hadir Guru Besar ECiM, Dr Murray Tod.
Tambahan pula, Fernandes berkata program itu disasarkan kepada pelajar yang tidak mampu membayar harga standard program A-level Epsom selama dua tahun.
Sementara itu, Tod berkata program ini disesuaikan dengan kualiti dan kedalaman intelektual yang sama seperti program lain ECiM dengan subjek yang ditawarkan termasuk Biologi, Kimia, Fizik, Ekonomi, Perakaunan, Matematik Sains Komputer dan Perniagaan.
— BERNAMA