Erdogan ancam buka pintu penghijrahan keluar pelarian ke Eropah

PAZARKULE, TURKI,. Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada hari Sabtu mengancam untuk membiarkan ribuan pelarian menyeberang ke Eropah dan memberi amaran kepada Damsyik akan menerima akibatnya selepas berpuluh-puluh tentera Turki terbunuh di Syria.

Kira-kira 13,000 pendatang berkumpul di sempadan Turki-Greek, menurut Organisasi Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) lewat Sabtu.

Terdahulu, polis Greek bertembung dengan beberapa ribu pendatang selepas mereka melempar batu kepada pasukan keselamatan yang menembak gas pemedih mata di sempadan.

Sementara itu, Turki dan Russia mengadakan perbincangan untuk meredakan ketegangan selepas serangan udara membunuh tentera Turki, mencetuskan kebimbangan terhadap perang yang lebih luas dan krisis migrasi baharu kepada Eropah.

Erdogan berkata, beliau akan membiarkan pelarian berhijrah ke Eropah dari negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

“Apa yang kita buat semalam? Kami membuka pintu,” kata Erdogan di Istanbul.

“Kami tidak akan menutup pintu …. kenapa? Kerana Kesatuan Eropah harus menunaikan janji-janjinya.”

Beliau merujuk kepada kesepakatan yang dicapai pada 2016 dengan Kesatuan Eropah bagi menghentikan penghijrahan pelarian sebagai pertukaran bantuan berbilion euro.

Turki kini menjadi tuan rumah kepada 3.6 juta pelarian Syria.

Komen Erdogan itu adalah yang pertama sejak 34 tentera Turki terbunuh pada Khamis di Idlib Syria, di mana pasukan rejim Syria yang disokong oleh Moscow bertempur untuk merampas semula kawasan pemberontak.

Menteri Dalam Negeri Turki, Suleyman Soylu, mengatakan hampir 50,000 pendatang telah meninggalkan Turki untuk berada di Eropah melalui wilayah barat Edirne, bersempadan dengan Greece.

Bagaimanapun menurut IOM, kakitangannya mendapati sekurang-kurangnya 13,000 orang berkumpul di sempadan sepanjang 212 kilometer.

“Ribuan pendatang, termasuk keluarga dengan anak kecil, melewati malam yang sejuk di sepanjang sempadan antara Turki dan Greece,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )