ESSCOM laksana ibadah korban sempena Aidiladha

ESSCOM laksana ibadah korban sempena Aidiladha

LAHAD DATU,. Ibadah korban dapat mengeratkan silaturahim warga Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bersama masyarakat sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di sini, semalam.

Timbalan Komander ESSCOM Brig.Jen Adnan Abu Hassan berkata, ibadah korban yang dilaksnakan secara gotong royong memberi peluang kepada warga ESSCOM untuk membantu golongan-golongan yang memerlukan terutamanya kepada mereka yang tidak mampu untuk melakukan ibadat korban.

“Saya melihat ibadah korban yang menjadi tuntutan agama yang dilaksanakan anggota EESCOM dalam suasana kekeluargaan berupaya merapatkan hubungan silaturahim di kalangan anggota ESSCOM yang terdiri daripada pelbagai cabang perkhidmatan iaitu ATM, PDRM, APMM dan bahagian Awam,” katanya.

Menurutnya, program itu diharap dapat diteruskan pada masa akan datang untuk memberi ruang perkongsian rezeki melalui agihan daging-daging korban yang diedarkan kepada tiga pihak iaitu penyumbang, petugas dan golongan asnaf iaitu golongan fakir miskin di sekitar daerah ini.

ESSCOM meraikan Hari Raya Aidiladha melalui program itu dalam suasana yang sederhana tapi meriah di perkarangan Markas Pasukan Polis Marin Lahad Datu, di sini, semalam.

Sebanyak 2 ekor lembu korban hasil derma dan sumbangan warga telah disembelih dalam majlis yang bermula jam 8 pagi hingga 11.30 pagi itu.

Ketua Staf Bahagian Operasi Udara ESSCOM Brig. Jen. Ayub Khan Mohd Khan telah mengambil tanggungjawab untuk menyembelih lembu korban dan aktiviti gotong royong untuk melapah dan memotong daging lembu dijayakan kira-kira 50 anggota ESSCOM yang hadir.

CATEGORIES
TAGS
Share This