ESSCOM lancar sistem e-Keanggotaan, e-Demografi ESS Zone

ESSCOM lancar sistem e-Keanggotaan, e-Demografi ESS Zone

LAHAD DATU,. Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) hari ini melancarkan sistem e-Keanggotaan ESSCOM dan e-Demografi Zon Selamat Timur Sabah (ESS Zone) secara ‘in-house’ bagi memudahkan tugasan warga organisasi keselamatan itu.

Komander ESSCOM Datuk DCP Victor Sanjos berkata pewujudan sistem itu didasari oleh penggunaan teknologi kecerdasan buatan.

Beliau berkata ESSCOM bukan sahaja ingin dikenali sebagai pusat keselamatan di pantai timur Sabah tetapi juga sebagai pusat maklumat di ESS Zone selain turut menetapkan dua misi utama iaitu tiada pencerobohan kali kedua dan sifar penculikan untuk wang tebusan di kawasan ESS Zone.

“Semangat seluruh warga ESSCOM diperlukan dalam merealisasikan dua misi utama ini selari dengan penjenamaan ESSCOM seterusnya menjadikan ESS Zone sebagai tempat selamat dan sejahtera,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Victor juga berkata penjenamaan ESSCOM melalui logo dan benderanya serta warna peta ESS Zone adalah penting untuk mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap tahap keselamatan di kawasan itu.

“Hal itu membantu membangunkan sosioekonomi di pantai timur Sabah,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This