ESSCom tubuh pasukan petugas banteras kes samun, rompakan di laut

ESSCom tubuh pasukan petugas banteras kes samun, rompakan di laut

LAHAD DATU,. Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menubuhkan pasukan petugas bagi membanteras kes samun dan rompakan laut di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Komander ESSCom Datuk Ahmad Fuad Othman berkata operasi khas turut dijalankan selaras dengan penubuhan pasukan itu.

“Beberapa kejadian samun dan rompakan laut direkodkan berlaku di perairan ESSZone termasuk di Lahad Datu, Kunak dan Semporna sejak kebelakangan ini, dan justeru itu pasukan ini ditubuhkan untuk membanteras kes sedemikian.

“Saya tidak akan berkompromi dengan kegiatan seumpama itu yang menjejaskan keselamatan komuniti maritim di ESSZone,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau juga berkata pasukan petugas yang digerak atur hari ini berjaya menahan tiga suspek lelaki warga Filipina berumur lingkungan 18 hingga 30 tahun di perairan Pulau Bum Bum, Semporna kerana dipercayai terlibat dengan kes rompakan laut di Lahad Datu baru-baru ini.

“Pada 9.30 pagi tadi berlaku kejar-mengejar antara bot suspek dan Pasukan Polis Marin (PPM) diterajui ESSCom namun bot suspek terbalik selepas terlanggar bot PPM yang cuba memintasnya dan akibat itu, semua suspek cedera ringan,” katanya.

Ahmad Fuad berkata penahanan kesemua suspek turut membawa kepada rampasan barang termasuk dua enjin bot yang dilarikan dalam rompakan laut di Lahad Datu.

“Mereka ini dipercayai melakukan kegiatan jenayah di sekitar perairan ESSZone,” kata beliau sambil menambah pihaknya kini menyiasat sama ada trio suspek itu turut terlibat dalam kejadian rompakan bagang berhampiran Pulau Burung di Kunak.

Insiden pada 3 pagi Ahad lepas itu menyaksikan tiga lelaki bertopeng merompak sebuah bagang dan melarikan seunit enjin bot 15hp, dua tong ais termasuk seunit jerigen berisi 25 liter minyak petrol.

Ketika kejadian, tiga nelayan termasuk pengusaha berada di bagang itu namun kesemuanya selamat.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This