EU akan beli sehingga 300 juta dos vaksin Biontech/Pfizer

EU akan beli sehingga 300 juta dos vaksin Biontech/Pfizer

BRUSSELS,. Kesatuan Eropah (EU) akan membenarkan kontrak untuk pembelian sehingga 300 juta dos vaksin COVID-19 yang dibangunkan bersama oleh syarikat Jerman BioNTech dan rakannya dari Amerika, Pfizer, lapor agensi berita Xinhua, memetik Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen pada Selasa.

“Ini adalah vaksin yang paling meyakinkan setakat ini,” ciapnya di Twitter. Kontrak tersebut, yang akan dimeterai pada Rabu, akan menjadi kontrak keempat yang dijamin EU dengan syarikat farmasi untuk pembelian vaksin COVID-19.

Calon vaksin BioNTech / Pfizer terbukti lebih daripada 90 peratus berkesan dalam mencegah jangkitan COVID-19 kepada peserta yang tidak ada jangkitan SARS-CoV-2 sebelumnya, umum dua syarikat itu pada Isnin.

Ketika dunia sedang berjuang untuk membendung COVID-19, negara-negara termasuk Jerman, China, Rusia, Inggeris dan Amerika Syarikat berlumba-lumba mencari vaksin.

Menurut laman web Pertubuhan Kesihatan Sedunia, pada 3 November, terdapat 202 calon vaksin COVID-19 yang sedang dibangunkan di seluruh dunia, dan 47 daripadanya dalam ujian klinikal.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This