Ewon hargai usaha penduduk bergotong-royong bersihkan kawasan banjir

Ewon hargai usaha penduduk bergotong-royong bersihkan kawasan banjir

PENAMPANG: Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick menghargai usaha penduduk kampung mengadakan program gotong-royong membersihkan kawasan kampung sekitar Penampang yang dilanda banjir baru-baru ini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi meluangkan masa menghadiri program gotong-royong di Kampung Soboong Boliga dan Dewan Pagansakan Kampung Inobong di sini bagi melihat dan mendengar sendiri keluhan serta keperluan penduduk kampung.

“Saya mengunjungi Kampung Soboong Boliga yang mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan perumahan kampung mereka akibat banjir termasuk menabur batu kelikir di jalan-jalan perumahan yang rosak.

“Sebagai sokongan program ini, saya menyalurkan sumbangan daripada peruntukan Ahli Parlimen saya sebanyak RM6,000 beberapa hari yang lepas untuk mereka melaksanakan gotong-royong ini dan tambahan RM3,000 pada hari ini bagi keperluan lain yang diperlukan oleh JKKK kampung ini.

“Semoga kesatuan dan kerjasama penduduk seperti ini terus subur. Bencana banjir ini mencetus banyak kerosakan, tapi telah menyatukan komuniti,” katanya.

Seterusnya Ewon menghadiri program gotong royong Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Penampang yang diketuai oleh ketuanya Billy Joe Dominic, di Dewan Pagansakan Kampung Inobong bagi membersihkan kerosakan dewan itu akibat banjir.

-TND

CATEGORIES
Share This