Exco Perlis tidak bangkit soal peruntukan khas semasa mesyuarat – Tiong
KUALA LUMPUR,. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berkata tiada wakil Kerajaan Negeri Perlis yang membangkitkan isu permohonan peruntukan khas semasa Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan pada 14 Nov lepas.
Menteri berkenaan Datuk Seri Tiong King Sing berkata Exco Pelancongan Perlis Wan Badariah Wan Saad yang menghadiri Festival Kraftangan Wilayah Utara di negeri itu bersama-sama Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Roslan Abdul Rahman pada 23 Sept 2023 juga tidak menyatakan hasrat kerajaan negeri untuk menjayakan Tahun Melawat Perlis sepanjang program berlangsung.
“Siaran media saya sebelum ini menyebut bahawa lebih RM3.5 juta diperuntuk pada 2023 untuk meningkatkan pelancongan Perlis, membuktikan kesaksamaan kementerian terhadap semua negeri dan menolak dakwaan meminggirkan Perlis.
“Jika Perlis benar-benar terpinggir, mengapa negeri ini diperuntuk dana… komitmen MOTAC untuk mempromosikan pelancongan negara adalah teguh, jadi tidak perlu membuat kenyataan yang mengelirukan,” menurutnya dalam kenyataan yang dikongsi di akaun Facebook.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Mohd Shukri Ramli yang mendakwa tidak menerima sebarang maklum balas berhubung peruntukan MOTAC untuk menaik taraf lokasi pelancongan khususnya sempena Tahun Melawat Perlis 2024/2025.
–BERNAMA