FAM bangga bantu AFC kendali perlawanan akhir Piala AFC 2019

FAM bangga bantu AFC kendali perlawanan akhir Piala AFC 2019

KUALA LUMPUR,. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berbesar hati diberi tanggungjawab oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk membantu mengendalikan beberapa perkara pada perlawanan akhir Piala AFC antara 4.25 SC dari Korea Utara dan Kelab dari Lubnan Al Ahed FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata walaupun AFC membuat permintaan itu pada saat-saat akhir, badan kebangsaan itu telah dapat memenuhi semua keperluan Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) bagi memastikan perlawanan itu dapat berlangsung di ibu negara dengan lancar.

Beliau berkata pengalaman membantu AFC dalam mengendalikan perlawanan akhir Piala AFC 2019 juga akan membantu meningkatkan pengetahuan kakitangan FAM yang terlibat untuk mengendalikan kejohanan seumpama itu pada masa akan datang.

“Bagi pihak Presiden FAM yang juga mewakili exco AFC, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden AFC, Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa atas kepercayaan dan keyakinan yang diberikan kepada FAM untuk membantu AFC dalam menjalankan perlawanan bersama,” katanya dalam catatan terbaru yang dimuat naik di laman Facebook FAM, hari ini.

Stuart mendedahkan FAM berbangga membantu AFC dan bola sepak Asia dengan apa jua kemampuan dan sentiasa bersedia memberikan bantuan yang sama jika diperlukan pada masa akan datang.

Pemain tengah Ghana, Issa Yakobo menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-74 yang membolehkan Al Ahed menjulang Piala AFC sulung mereka mengatasi 4.25 SC dari Korea Utara dengan 1-0.

4.25 SC dari Korea Utara beraksi dengan 10 pemain lebih dari satu jam, selepas penjaga golnya, An Tae Song dibuang padang pada minit ke-26 selepas menjatuhkan pemain Lubnan di penjuru kotak penalti, ketika pemain itu meluru ke arah kawasan gol.

Untuk rekod, AFC telah memutuskan untuk memindahkan perlawanan akhir Piala AFC itu ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, pada 25 Okt lepas, hanya beberapa hari selepas ia ditukar ke Shanghai, China disebabkan isu antarabangsa membabitkan Korea Utara.

CATEGORIES
TAGS
Share This