
FAMA lancarkan AgroXpress di Sarawak bantu pasarkan produk tempatan
KUCHING,. Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) kini membuka peluang kepada para belia di Sarawak untuk menyertai perkhidmatan penghantaran produk usahawan tempatan menerusi program AgroXpress yang dilancarkan hari ini.
Perkhidmatan itu dilancarkan oleh Pengarah FAMA Sarawak, Datuk Dr Mat Sani Hassan di kedai AgroBazaar Online yang dikendalikan oleh A.B.O Trading di Jalan Matang di sini yang menawarkan perkhidmatan penghantaran produk terus ke rumah pengguna.
Pengurus Projek A.B.O Trading Sarawak, Zamahari Hanapi berkata melalui AgroXpress, pengusaha tempatan boleh menghantar produk-produk mereka kepada A.B.O yang akan memasarkannya dalam talian dan seterusnya boleh ditempah oleh pembeli.
“A.B.O Trading turut mengutamakan usahawan di luar bandar, mereka boleh menghantar produk ke kedai kami dan kami akan memasarkan produk terbabit secara dalam talian dan juga menghantarkannya kepada pelanggan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran itu.
Beliau berkata dalam tempoh 12 bulan akan datang, pihaknya juga bercadang untuk membuka cawangan kedai Agrobazaar Online di Miri selain Sibu dan Sarikei bagi memberi peluang kepada lebih ramai usahawan dan belia yang berminat untuk menjadi penghantar barangan mereka.
— BERNAMA