FGV raih manfaat daripada aliran pendapatan baharu

FGV raih manfaat daripada aliran pendapatan baharu

KUALA LUMPUR,. FGV Holdings Bhd (FGV) kini meraih manfaat daripada aliran pendapatan baharu dalam ekonomi kitaran, kata Pengerusinya Datuk Wira Azhar Abdul Hamid.

Memetik makanan haiwan sebagai contoh, beliau berkata dalam tempoh 12 bulan lepas, FGV berjaya menggandakan jumlah jualan, pendapatan dan margin jualan produknya.

“Sebelum ini, 97 peratus bungkil kernel sawit FGV – yang merupakan ramuan untuk formulasi makanan haiwan – dijual dan dieksport sebagai bahan mentah pada harga yang sangat rendah kepada pengeluar.

“Kini, kami melantik pakar pemakanan haiwan untuk menambah nilai kepada produk dan meningkatkan margin 3-5 peratus kepada lebih daripada 10 peratus,” katanya dalam surat kepada para pemegang saham yang dipaparkan di laman web Bursa Malaysia hari ini.

Syarikat itu menghasilkan 21,652 tan makanan haiwan pada 2019 berbanding 10,182 tan metrik pada 2018, dan pendapatan daripada produk itu melonjak kepada RM9.93 juta daripada RM5.63 juta sebelumnya.

Margin jualan juga meningkat dengan ketara kepada RM61.76 se tan berbanding RM34.43 setan, kata Azhar, sambil menambah bahawa tahun ini, FGV mahu menghasilkan 50,000 tan makanan haiwan dan melancarkan dua formula makanan premium baharu untuk lembu tenusu.

Sementara itu, beliau berkata bahagian tenaga boleh baharunya yang sebelum ini merupakan perniagaan yang mencatat keuntungan yang rendah, kini memperoleh keuntungan sebanyak RM46 juta pada 2018.

Beliau berkata FGV mahu memperoleh pendapatan tahunan di antara RM200 juta dengan RM300 juta dengan memanfaatkan nilai sisa daripada proses pengilangan kepada produk sampingan.

Syarikat perladangan itu juga merancang mengoptimumkan nilai asetnya.

“Sebagai contoh, tanah yang kami miliki atau urus hampir sepenuhnya dikhususkan untuk penanaman kelapa sawit, sedangkan ia tidak sepatutnya begitu,” kata Azhar.

Beliau berkata FGV juga mengenal pasti aliran pendapatan pertanian yang lain seperti buah-buahan tropika, pemakanan haiwan, tenusu dan ternakan serta penanaman padi.

“Kami menganggarkan bahawa pelaburan berdaya maju dengan potensi keuntungannya sangat besar.

“Setiap pelan sudah ditelitii, dan tidak ada sebab mengapa FGV tidak boleh berjaya dalam semua usaha ini,” katanya.

Azhar berkata dalam tempoh 12 bulan lepas, FGV mencapai banyak kejayaan, terutama dalam sektor perladangan.

Malangnya, harga minyak sawit mentah (MSM) kekal rendah pada tahun itu, dan transformasi perniagaan FGV terus berhadapan masalah legasi, katanya.

“Kami sedar bahawa transformasi itu akan lebih besar, bukan hanya membersihkan pelaburan yang dipersoalkan, yang merugikan berbilion ringgit, malah mengambil masa dan perhatian pengurusan yang cukup besar ketika melalui proses undang-undang untuk melindungi kepentingan para pemegang saham,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata FGV kini berada pada landasan yang betul ke arah masa depan yang baharu dan lebih baik, meskipun ada cabaran berlarutan dengan anak syarikatnya, MSM Malaysia Holdings Bhd.

“Sementara itu, kenaikan harga MSM baru-baru ini sudah pasti disambut baik.

“Walaupun minyak sawit akan menjadi teras perniagaan, kami akan memindahkan sumber yang bersesuaian ke sektor yang lebih bernilai dan bersinergi yang lebih tinggi untuk mengurangkan risiko turun naik harga MSM,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This